Kes Rasuah RM20 Juta: Jadi "Pemegang Amanah" Suspek Utama?


ALOR SETAR -  Seorang pegawai penguat kuasa Jabatan Imigresen di Perlis dan kontraktor yang diberkas oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dua hari lepas dipercayai ‘pemegang amanah’ kepada Pegawai Kanan Imigresen yang menjadi suspek utama dalam kes sogokan bernilai RM20 juta.

Pengarah SPRM Kedah, Datuk Mohd Fauzi Mohamad memberitahu, pihaknya tidak menolak kemungkinan bahawa dua suspek itu memainkan peranan sebagai ‘penjaga barang’ kepada suspek utama kes yang sedang disiasat itu.

"Kita masih menyiasat  peranan dua suspek ini dan kita tidak menolak mereka bertindak sebagai pemegang amanah kepada suspek utama," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM, di  Anak Bukit, dekat ini lewat petang semalam.

Sementara itu, tiga lelaki termasuk dua pegawai Imigresen yang berkhidmat di Perlis itu direman seminggu bermula Selasa bagi membantu siasatan dalam kes rasuah membabitkan permohonan permit pekerja asing.

Perintah reman ke atas ketiga-tiga lelaki berusia 35 hingga 48 tahun itu dikeluarkan Pendaftar Mahkamah Alor Setar, Wan Nor Fadzilah Wan Ibrahim setelah mereka dibawa ke Kompleks Mahkamah Alor Setar kira-kira pukul 10.30 pagi semalam.

Dua pegawai Imigresen dan kontraktor itu ditahan oleh SPRM) pada pukul 10 dan 11 pagi kelmarin di negeri ini dan Perlis.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLA).

"Kami  juga meminta mana-mana syarikat yang pernah berurusan dengan suspek utama tersebut dalam urusan permohonan permit pegawai dagang agar tampil untuk membantu siasatan," kata Mohd Fauzi lagi. - Kedahnews.com