Kes UPSR: Guru Diperintah Bela Diri


PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan sebentar tadi memerintahkan seorang guru lelaki membela diri terhadap tuduhan memiliki kertas soalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014 secara tidak sah, tiga tahun lalu.

L.Subbarau @ Kamalanathan, 37, menghadapi lima pertuduhan memiliki soalan UPSR 2014 bagi mata pelajaran Matematik 035/1 dan Matematik 015/1, Bahasa Tamil-Pemahaman 036 dan Bahasa Tamil-Penulisan 037 serta Sains 081 melalui seunit telefon pintar jenis Samsung Galaxy Note 2.

Responden yang ketika itu mengajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Batang Benar di Nilai, Negeri Sembilan didakwa mendapatkan soalan-soalan itu yang didakwa bersalahan dengan Akta Rahsia Rasmi 1972 kerana tidak berhak menyimpannya.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Mohtarudin Baki yang bersidang bersama Datuk Vernon Ong Lam Kiat dan Datuk Harmindar Singh Dhaliwal menetapkan demikian dengan keputusan majoriti Hakim Mohtarudin dan Hakim Vernon membenarkan rayuan akhir pendakwa raya manakala Hakim Harmindar mencapai keputusan menentang dan menolak rayuan itu.

Mahkamah menetapkan 16 Jun depan bagi sebutan kes di Mahkamah Sesyen Seremban, Negeri Sembilan. 

Sumber : Utusan Online