Kesan Lebih Buruk Jika PAS-PKR Terus Bersama


ALOR  SETAR  -  PAS bakal menerima kesan  buruk jika Majlis Syura Ulama (MSU) menolak keputusan muktamar tahunan parti  yang mahukan majlis itu menamatkan tahaluf siyasi dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Jika MSU tidak menerimannya, bererti PAS tidak memperdulikan lagi suara akar umbi  yang begitu lantang mahukan kerjasama politik dengan PKR ditamatkan.

Ramai yang berpendapat jika PAS dan PKR masih meneruskan kerjasama politik, parti itu bakal menempah laluan sukar untuk memenangi Pililhan Raya Umum akan datang, sekaligus meranapkan impian PAS hendak menawan 40 kerusi Parlimen dan lima negeri tumpuan – Kelantan, Kedah, Trengganu, Selangor dan Pahang.

Pada PRU14, PAS perlu  bergerak secara solo, yang sudah tentu memerlukan sokongan padu seluruh anggotanya bagi berdepan pertandingan tiga penjuru yang dijangka cukup sengit dan memeritkan.

Namun, berdasarkan sentimen para pemimpin dan perwakilan sepanjang muktamar ke 63 yang berlangsung selama lima hari di Kedah, MSU dijangka tidak sukar untuk membuat keputusan seperti mana  yang dilakukan dua tahun lalu.

Pada Muktamar Agung PAS ke 62 di Sungai Besar, Selangor, MSU  telah mengambil kira padangan Dewan Pemuda,Ulama dan Muslimat dengan menarik PAS  keluar daripada Pakatan Rakyat (PR). Keputusan itu memaksa DAP membubarkan pakatan itu.

 Begitupun, PAS masih terus bekerjasama dengan PKR kerana perlu berkongsi kuasa, khususnya dalam  pentadbiran kerajaan negeri Selangor pimpinan PKR bersama DAP.

Untuk rekod pada PRU13,  daripada 56 kerusi DUN Selangor, PAS dan DAP masing-masing menguasai 15 kerusi,  sementara PKR memperolehi 14 kerusi.

Dalam PAS, semua maklum Dewan Ulama  dan Dewan Pemuda adalah pejuang barisan depan parti. Mereka adalah yang  lantang sekali bersuara mahu hubungan PAS – PKR diputuskan.

Pada sidang di Muktamar PAS Kedah itu, kedua-dua dewan itu mahu MSU mengambil kata putus atau pertimbangan dengan seberapa cepat.  Mereka tidak tahan lagi dihina oleh pemimpin PKR terhadap  parti  PAS dan pucuk pimpinannya,  terutama dalam isu pindaan rang undang-undang jenayah syariah (RUU355).

Sebelum itu, banyak keputusan yang dibuat oleh PKR tidak merujuk kepada PAS yang menjadi rakan tahalufnya,  antaranya  isu penurunan dan pelantikan Menteri Besar Selangor serta Pililhan Raya Kecil (PRK) mengejut bagi DUN Kajang.

Sementara semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar, PKR bermain ‘kayu tiga’ dengan mengajak  DAP  menyokong calon Parti  Amanah Negara (PAN) untuk menentang calon PAS.

Dalam hal ini, seperti mana yang ditegaskan oleh Ahli Jawantankuasa Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Zulkfli Ismail, PKR kini bukan lagi sebuah parti yang boleh dipercayai. PKR telah mengkhianati dan menderhakai  PAS yang banyak membantunya.

Manakala Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pula tanpa segan dan silu membuat kenyataan bahawa PAS akan mengambil alih teraju kepimpinan negeri Selangor selepas PRU akan datang. Ini satu isyarat jelas bukan sahaja ditujukan kepada Menteri Besar,  Datuk Mohamed Azmi Ali tetapi juga kepada PKR, DAP dan PAN.

Di penutup muktamar, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi pula mengingatkan parti-parti pambangkang yang bermain kayu tiga bahawa;

“PAS bukanlah hotel tumpangan untuk singgah menginap dan bila mereka rasa tidak selesa, mereka pun berambus...."