ALOR SETAR - Khabar angin mengenai cerita besar kemungkinan akan berlaku kemunculan semula pemain bola sepak yang pernah menjadi sebutan dan kebanggaan pasukan Kedah, Khyril Muhaimeen kuat bertiup di utara tanah air.
Difahamkan bahawa Khyril kini telah "dipancing" oleh Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) dan diberi tawaran untuk kembali beraksi bersama barisan skuad Helang Merah.
Khyril ketika ditanya mengenai khabar angin tersebut, dia bagaimanapun tidak menafikan desas-desus itu dan mendakwa telah dihubungai KFA sebaik pintu perpindahan pemain dibuka pada 15 Mei lalu.
Pemain PKNS tersebut mengakui sedikit terkejut dan teruja dengan panggilan serta hasrat Kedah untuk melamarnya semula, namun begitu masih belum ada perbincangan secara mendalam.
“Betul..memang ada pihak Kedah buat panggilan dan bertanyakan mengenai hasrat saya, sama ada nak balik semula ke sana atau tidak?
“Rasa macam tak percaya pun ada tetapi buat masa ini saya belum terfikir apa-apa lagi kerana masih di PKNS.
“Pihak pengurusan mungkin akan tahu perkara ini, apa-apa kita tunggulah macam mana nanti, buat masa ini segalanya belum pasti, ” katanya.
Menurut Khyril, dia banyak menghabiskan zaman remaja bersama skuad hijau kuning, namun dia juga turut mengenangjasa PKNS yang sanggup beri peluang kedua buat dirinya selepas kerap kali dilanda kecederaan beberapa musim lalu.
“Saya kena fikir masak-masak soal ini kerana PKNS pun banyak beri peluang kepada saya untuk bermain.
“Sudah tentu peluang ke Kedah juga sukar dilepaskan namun saya pun kena kenang budi PKNS.
“Apa-apa pun saya akan tunggu kata putus majikan jika benar Kedah serius mahu dapatkan saya,” jelasnya.
Khyril merupakan pemain muda Kedah paling menyerlah semasa pasukan itu muncul juara double treble pada tahun 2007 dan 2008 dan berjaya melakar nama untuk beberapa musim apabila dia terus bersama Kedah sehingga 2013 malah sering kali dipanggil untuk memperkuatkan skuad kebangsaan. - Kedahnews.com