Khai Bahar Belum Pandai Layan Media


Tahniah Cik Pang ucapkan kepada penyanyi muda, Khai Bahar yang membawa pulang dua trofi Anugerah Bintang Popular BH3.0 (ABPBH3.0), Ahad lalu.

Dalam keseronokan meraikan kejayaan, teman Cik Pang mengadu sikap penyanyi yang kini popular dengan lagu Bayang ini yang didakwa buat hal sendiri pada acara yang dihadiri ramai media.

Kata teman Cik Pang, kebanyakan selebriti yang hadir walaupun ada antara mereka tidak ditemuramah tetap mengambil peluang untuk beramah mesra dengan media tetapi Khai tidak.

Teman Cik Pang berpendapat adalah mustahil penyanyi itu berasa segan dengan media. Lagipun Khai sudah banyak kali ditemuramah media dan sifat malu serta segan tidak patut ada dalam dirinya.

Pada pendapat Cik Pang, mungkin benar Khai masih mempunyai perasaan malu dan segan dengan situasi meriah di mana semua orang bertegur sapa.

Tidak semua orang mempunyai kelebihan PR yang bagus untuk ringan mulut bertanya khabar dan ada juga mengambil masa lama untuk ‘panas’. Itu pun selepas ada yang memulakan teguran terlebih dahulu.

Pun begitu, Cik Pang tetap nak tegur supaya Khai dan semua artis baru terutamanya supaya ringankan mulut untuk bertegur sapa dengan pihak media.

Bukan apa, tidak rugi pun kalau memulakan PR sendiri dan tidak mengharapkan pengurus artis, PR atau PA memulakan perbualan. Ambil contoh artis lama yang sememangnya sangat mesra media dan ‘tip-top’ bab PR.

Sumber: Harian Metro