Kit Siang Beri Keterangan Kes Kerugian BNM


PUTRAJAYA – Penasihat DAP, Lim Kit Siang memberi keterangan kepada Pasukan Petugas Khas siasatan kerugian urus niaga mata wang asing oleh Bank Negara Malaysia (BNM) sekitar 1990-an.

Anggota Parlimen Gelang Patah itu memberi keterangan kira-kira 40 minit kepada pasukan petugas khas itu yang bersidang di Kementerian Kewangan di sini.

Bercakap kepada pemberita yang menunggu di lobi kementerian itu, Kit Siang berkata kehadirannya adalah atas undangan pasukan petugas khas itu bagi menemu bual ‘pihak yang pernah terlibat atau mempunyai sebarang maklumat mengenai urus niaga mata wang asing yang dilakukan oleh BNM sekitar 1990-an’.

Beliau berkata pasukan itu hanya bertanya mengenai kenyataan yang pernah dibuatnya sendiri semasa sidang Dewan Rakyat pada 1993 dan 1994 berhubung kerugian perdagangan mata wang asing oleh BNM.

“Tiada soalan lain, hanya pertanyaan berkaitan ucapan dan usul yang pernah saya bawa pada sidang Parlimen. Itu sahaja yang disoal,” katanya, semalam.

Pada sidang Dewan Rakyat 1993 dan 1994 itu, Kit Siang antara lain mahu Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan bagi menyiasat kerugian mega itu.


Pasukan petugas khas yang dipengerusikan bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan itu bertanggungjawab untuk menyiasat kerugian sebanyak AS$10 bilion (RM44 bilion) yang dialami BNM melalui kegiatan perdagangan mata wang sepanjang 1991 hingga 1993.

Perkara itu mula didedahkan oleh bekas Penolong Gabenor BNM, Datuk Abdul Murad Khalid yang dilaporkan berkata kerugian dialami BNM adalah lebih besar daripada Laporan Tahunan BNM pada 1994 yang hanya mencatatkan kerugian sebanyak RM9 bilion.

Abdul Murad antara lain turut menggesa bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama dua bekas Menteri Kewangan iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Daim Zainuddin disoal siasat bagi merungkai kerugian tersebut.

Pada 20 April lepas, Anwar yang sedang menjalani hukuman penjara atas kesalahan meliwat telah dibawa bagi memberi keterangan kepada pasukan petugas khas itu. – BERNAMA