KKM Beri Amaran Kewujudan "Doktor Gigi Palsu" Berleluasa


RISIKO dan komplikasi seperti ulser mulut, gigi longgar, karies gigi dan gusi bernanah boleh berlaku jika anda mendapatkan khidmat daripada pengamal pergigian haram yang tidak bertauliah.

Justeru, Kementerian Kesihatan Malaysia dalam satu kenyataan menasihatkan orang ramai untuk tidak mendapatkan perkhidmatan pergigian haram yang didapati semakin berleluasa di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya serius mengenai kegiatan pengamal pergigian haram ini dalam menawarkan perkhidmatan kosmetik seperti pemasangan pendakap gigi (braces) dan venir pergigian (dental veneers).

Menurutnya, menjadi kembimbangan KKM apabila ramai kini masih kurang sedar bahawa mereka yang menawarkan prosedur tersebut adalah tidak bertauliah dan akibat mudah tertarik tawaran harga dianggap murah.

“Kami ingin mengingatkan orang awam supaya peka dan mengambil berat risiko yang akan dialami sekiranya mendapatkan perkhidmatan dari pengamal pergigian haram yang tidak bertauliah.

“Lebih membimbangkan, risiko dijangkiti virus HIV dan Hepatitis adalah tinggi kerana pembasmian kuman ke atas peralatan tidak dilakukan dengan sempurna,” kata Noor Hisham.

Menurutnya, semakin banyak aduan daripada pelanggan yang telah mengalami komplikasi atau kesan buruk daripada perkhidmatan tidak professional yang ditawarkan oleh pengamal pergigian haram.

Jelasnya, ini termasuk perkhidmatan pembuatan gigi palsu, penskaleran (scaling) dan pemutihan gigi.

“Pemutihan gigi dengan produk yang dijual di pasaran terbuka (kepekatan asid kurang dari 0.01%) boleh diguna pakai sendiri  oleh orang awam.

“Namun begitu, prosedur pergigian yang menggunakan produk ‘tooth whitening’ melebihi kepekatan yang ditetapkan, perlu dijalankan oleh pengamal pergigian bertauliah iaitu doktor gigi.

“Mereka berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia di bawah Akta Pergigian 1971 serta menjalankan perkhidmatan di premis kesihatan yang berdaftar di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998,” katanya.

Katanya, sejak tahun 2015 sehingga kini, sebanyak 46 aduan diterima mengenai pengamal pergigian haram.

Dr. Noor Hisham berkata, sepanjang tempoh itu, sebanyak 18 kes berjaya di bawa ke mahkamah untuk pendakwaan.

Beliau menasihatkan orang ramai melayari laman sesawang dpims.moh.gov.my untuk mengetahui kelayakan doktor gigi itu sebelum mendapatkan rawatan pergigian.

“Orang awam yang ada maklumat tentang kegiatan pengamal pergigian yang mencurigakan digesa tampil menyalurkan aduan rasmi kepada Bahagian Kesihatan Pergigian KKM agar penguatkuasaan boleh dijalankan dan tindakan undang-undang yang tegas dapat diambil,” katanya. – Kedahnews.com