KPDNKK Terengganu Rampas 100 Pasang Telekung Siti Khadijah Tiruan


KUALA TERENGGANU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Terengganu merampas 100 pasang telekung jenama Siti Khadijah tiruan bernilai RM12,000 dalam serbuan di premis kediaman di Bukit Besar, di sini semalam.

Pengarahnya, Azlan Abdul Samat berkata ia adalah rampasan yang pertama membabitkan jenama tiruan itu di Malaysia setakat ini.

"Bertindak atas aduan pemilik cap dagang Siti Khadijah Apparel Sdn Bhd, sekumpulan sembilan penguat kuasa KPDNKK Terengganu menyerbu premis kediaman itu dan menyoal siasat pembekal telekung terbabit iaitu seorang perempuan berusia lingkungan 20-an.

"Berdasarkan siasatan, kami percaya penjualan telekung tiruan ini secara berleluasa di pasar-pasar malam telah pun bermula sejak sebulan lalu dengan harga yang lebih murah iaitu RM120 sepasang berbanding harga di butik RM150 hingga RM250 sepasang," katanya kepada pemberita di sini Rabu.

Kesemua telekung tiruan itu diimport dari Vietnam dan dihantar kepada pembekal itu secara pos.

Perbezaan ketara antara telekung tulen dan tiruan ialah kaedah sulaman, penggunaan jenis kain yang bukan daripada material kapas dan pelabelan jenama di telekung itu.

Azlan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 8(2) (C) Akta Perihal Dagangan 2011 iaitu mana-mana orang yang membekalkan untuk menawarkan apa-apa barang yang baginya suatu perihal dagangan palsu digunakan seolah-olah barang itu tertakluk kepada apa-apa yang berhubungan dengan cap dagangan berdaftar.

"Sabit kesalahan, peniaga (pertubuhan perbadanan) boleh didenda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barang yang diletakkan perihal dagangan palsu.

"Bagi peniaga yang bukan pertubuhan perbadanan pula, boleh didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barang yang diletakkan perihal dagangan palsu atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya," katanya. - BERNAMA