KPKT Sasar Tubuh Skuad Bomba Di Sekolah Agama Seluruh Negara


TANJONG KARANG - Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyasarkan untuk menubuhkan skuad bomba di setiap sekolah pondok dan tahfiz di seluruh negara menjelang akhir tahun ini.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, setakat Mei tahun ini sebanyak 94 sekolah tahfiz telah berdaftar untuk menubuhkan skuad tersebut di sekolah masing-masing iaitu melibatkan 1,115 pelajar.

Menurutnya, menjelang hujung tahun ini pihaknya menyasarkan semua 1,423 institusi pendidikan agama di seluruh negara akan menubuhkan Skuad Bomba.

"Kebakaran membabitkan bangunan tahfiz dilaporkan meningkat setiap tahun dan setakat Mac tahun ini sahaja sebanyak 30 pondok, madrasah dan sekolah tahfiz musnah dalam kebakaran.

"Pada tahun lalu pula sebanyak 93 kes kebakaran dilaporkan berlaku membabitkan bangunan trrbabit dengan kos kerugian RM7.4 juta berbanding 88 kes pada tahun 2016 dengan kos kerugian RM7.2 juta," katanya selepas Majlis Pelancaran Skuad Bomba Tahfiz Negeri Selangor di Masjid Jamiul Hasanat, Batu 10 di sini semalam.

Mengulas lanjut, Noh memberitahu, Skuad Bomba akan didedahkan dengan pengetahuan keselamatan seperti penggunaan alat pengesan api, alat pemadam api, kaedah pemadaman kebakaran dan prosedur menyelamatkan diri ketika kebakaran.

"Saya harap dengan tertubuhnya skuad ini anak-anak kita di tahfiz akan diberikan ilmu tentang cara-cara pencegahan, memadam dan menyelamatkan diri ketika kebakaran seterusnya mengurangkan insiden kebakaran di institusi pendidikan agama itu.

"Sebagai galakan penubuhan skuad ini di Selangor, RM5,000 diperuntukkan untuk mana-mana tahfiz yang menubuhkannya," ujarnya. 

Sumber : Utusan Online