Kuat Luar Biasa, Pakar Mahu Lutut Zlatan Ibrahimovic Untuk Kajian


KEKUATAN ‘luar biasa’ lutut penyerang Machester United, Zlatan Ibrahimovic menyebabkan bahagian kakinya itu dimahukan oleh penyelidik bagi tujuan kajian perubatan, lapor Independent.uk.

Penjaring terbanyak United itu baru-baru ini mengalami kecederaan ketika menentang Anderlecht dalam suku akhir Liga Europa, menyebabkan beliau akan menjalani pembedahan di Pittsburgh, Amerika Syarikat pada awal minggu ini.

Bagaimanapun, pakar bedah di Pusat Perubatan Universiti Pittsburgh (UPMC), Dr. Freddie Fu dan Dr. Musahl begitu terkejut dengan kekuatan dan kondisi lutut penyerang berusia 35 tahun itu yang dikatakan sangat berbeza dengan norma manusia biasa.

Menurut ejen Mino Raiola, lutut Ibrahimovic sangat luar biasa sehinggakan kedua-dua pakar perubatan UPMC mengatakan mereka tidak pernah melihat sesuatu seperti itu.

“Dia mempunyai lutut yang agak mustahil dimiliki oleh pemain bola sepak dengan karier sepanjang 20 tahun. Ia sangat bersih dan tiada sebarang kerosakan padanya,” kata Raiola sebagaimana laporan Expressen.

Tambahnya, disebabkan penemuan luar biasa itu juga, para doktor mengharapkan pemain berusia 35 tahun itu kembali kepada mereka selepas karier bola sepaknya tamat dan dijangkakan, Ibrahimovic akan menamatkan kontrak bersama United pada hujung musim ini. – Kedahnews.com