Lapan Keluarga Bimbang Ditimbus Tanah Runtuh Di Baling


BALING - Kediaman lapan keluarga membabitkan 40 penduduk di Taman Harmoni, Baling berisiko ditimbus tanah apabila tebing di bahagian belakang kediaman mereka runtuh sejak tiga bulan lalu.

Mereka mendakwa tebing setinggi 10 meter di belakang kediaman mereka mula runtuh dan menghempap dinding sehingga berlaku runtuhan di beberapa struktur.

Seorang penduduk, Mohd Azhar Sirat, 50, berkata, kehidupan dia sekeluarga tidak tenteram tambahan musim hujan yang berterusan sejak akhir-akhir ini.

"Sudah dua kali berlaku tanah tebing runtuh dan menimbus bilik komputer dan stor yang bersebelahan bilik anak sulung menyebabkan kami sekeluarga rasa takut untuk tinggal di situ.

"Malah setiap kali hujan akan berlaku runtuhan dan terbaharu dua minggu lalu sehingga air berselut memasuki rumah," katanya ditemui ketika menerima kunjungan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang melawat taman itu, semalam.

Mohd Azhar berkata, jarak tebing dengan rumah mereka hanya dua meter sahaja, apabila hujan lebat benteng penahan menahan tebing turut runtuh.

"Saya bimbang pokok getah di tebing itu turut tumbang dan menghempap rumah kerana berlaku hakisan tanah akibat terjahan air hujan.

"Setiap kali hujan lebat kami tidak dapat tidur lena dan takut berlaku kejadian buruk," katanya.

Sumber: myMetro