Lapor Aktiviti Pendakian Kepada Pihak Berkuasa - Bomba Kedah


YAN – Anggota masyarakat khususnya golongan yang gemar melakukan aktiviti pendakian di kawasan pergunungan di negeri ini, diingatkan agar melaporkan aktiviti mereka sebelum dan selepas pendakian kepada pihak berkuasa.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Abdul Razak Muda berkata ia bagi memastikan usaha mencari dan menyelamat dapat dipermudahkan terutamanya ketika berlaku kejadian tidak diingini ketika melakukan aktiviti pendakian.

“Kebanyakan kes pendaki tersesat kerana mengikut trek pendakian sendiri selain gagal melaporkan aktiviti mereka kepada pihak berkuasa sama ada polis, bomba atau renjer hutan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah Program Kempen Kesedaran Keselamatan dan Larian Jerai sempena Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2017 peringkat negeri di kaki Gunung Jerai, di sini, semalam.

Beliau berkata kebiasaannya, terdapat lebih daripada satu laluan pendakian di kawasan pergunungan dan pergerakan pendaki sukar dikesan sekiranya tiada laporan dibuat sebelum mereka memulakan pendakian.

“Gunung Jerai contohnya, ada dua laluan lain selain jalan berturap tar yang digunakan kenderaan, yang sering dilalui pendaki untuk ke puncak gunung khususnya pada cuti hujung minggu atau cuti umum,” katanya.

Sementara itu, Abdul Razak berkata pihaknya belum menerima sebarang kes melibatkan kehilangan atau kecederaan pendaki di kawasan pergunungan sepanjang empat bulan pertama tahun ini.

“Tetapi pada tahun lalu, terdapat dua kes orang hilang dan dua kes kebakaran dilaporkan melibatkan tiga kawasan pergunungan iaitu Gunung Jerai, Gunung Baling dan Gunung Pulai,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Abdul Razak berkata JBPM kini dalam keadaan bersiap siaga bagi menghadapi situasi banjir berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu sejak akhir-akhir ini.

“Kebiasaannya menjelang Mei dan Jun, kita bersedia untuk menghadapi kemarau namun tahun ini terdapat kemungkinan berlakunya banjir kilat,” katanya.

Terdahulu, seramai 819 peserta dari seluruh negara menyertai Larian Jerai yang bermula pada 8 pagi tadi. – BERNAMA