Larian Jerai Bersama Bomba Kedah Pada 15 Mei Ini

Anggota bomba membuat persiapan dengan memasang kain rentang di Gunung Jerai
ALOR SETAR - Orang ramai dipelawa memeriahkan kempen kesedaran keselamatan kebakaran dan Larian Jerai anjuran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, di Gunung Jerai, 15 Mei ini.

Individu yang enggan melepaskan peluang merebut 200 pingat yang akan diberikan kepada peserta larian terawal yang berjaya menamatkan larian 10 kilometer, boleh mendaftar sebelum 10 Mei ini.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah, Nur Hafizah Muhammad Lukman berkata, sambutan itu merupakan acara tahunan yang dianjurkan buat kali ke-empat, sempena  Hari Bomba Sedunia 2017 yang diraikan pada 4 Mei.

“Pelbagai hadiah menarik, seperti 300 helai kemeja T percuma, hadiah cabutan bertuah dan sijil penyertaan disediakan,” katanya.

Menurutnya, johan larian bagi kategori terbuka lelaki dan wanita masing-masing berpeluang memenangi hadiah wang tunai sehingga RM1,000, selain pingat serta sijil penyertaan.

Nur Hafizah berkata, pihaknya menyasarkan sebanyak 1,000 penyertaan dan terbuka kepada warganegara Malaysia sahaja.

"Larian ini terbuka kepada peserta lelaki dan wanita berusia 18 tahun ke atas. Mereka yang berminat perlu mendaftar dengan yuran RM40,” katanya.

Menurutnya, pelepasan acara larian dijangka disempurnakan Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Badrol Hisham Hashim.

"Turut diadakan kempen keselamatan kebakaran, hari bertemu pelanggan,  pameran dan reruai pelbagai agensi serta program gotong-royong perdana di kawasan perkuburan Teloi Tua, Sik,"katanya.

Untuk maklumat lanjut, boleh menghubungi talian 012-5394525 (Yunus) atau 012-5717124 (Azmir).

Sumber: Sinar Harian