Ledakan Bom, Rakyat Kedah Diminta Berhati-Hati Ke Thailand


JITRA -  Penduduk negeri Kedah khususnya yang tinggal bersempadan serta mereka mempunyai hubungan keluarga dengan rakyat negara jiran itu diingatkan lebih berhati-hati jika berkunjung ke selatan Thailand.

Ini  berikutan insiden letupan bom yang mencederakan 60 orang di Bandar Pattani, kelmarin.

Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Kayu Hitam, Datuk Ahmad Zaini Japar menasihatkan agar mereka tidak perlu ke kawasan yang sering berlaku konflik berdarah itu buat sementara waktu jika mereka tiada urusan atau keperluan penting.

Beliau yang juga ahli jawatankuasa bersama keselamatan sempadan selatan Thailand berkata demikian kepada Kedahnews.com ketika diminta mengulas mengenai kejadian letupan bom berhampiran sebuah pasaraya di Pattani.

Dalam perkembangan yang sama, keselamatan di sempadan dan pintu ma­suk ke Malaysia adalah terkawal berikutan insiden letupan di Pattani, selatan Thailand semalam.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor memberitahu Utusan Malaysia pasukan tentera yang bertugas di kawasan sempadan kini  dalam keadaan berjaga-jaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

“Kawalan keselamatan di sekitar kawasan operasi juga diperketatkan dan mengikut prosedur operasi standard (SOP).

“Sehubungan itu, situasi adalah terkawal buat masa ini dan pemantauan rapi akan diteruskan sehingga keadaan benar-benar stabil,” katanya.

Seramai 60 orang cedera ma­nakala 21 yang lain parah selepas bom kereta meletup di luar sebuah pasar raya yang sibuk dekat pusat bandar itu kira-kira pukul 2 petang waktu tempatan semalam.

Dalam pada polis Thailand kini menggiatkan usaha memburu empat orang suspek yang dipercayai dalang di sebalik insiden letupan bom kereta yang mencederakan ramai orang awam itu.

Jurucakap polis, Krisana Pattanacharoen berkata, imej keempat-empat suspek itu diperoleh menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pasar raya Big C yang menjadi sasaran kumpulan penyerang terbabit.

Kejadian pertama berlaku apabila sebuah motosikal yang sarat dengan bahan letupan meletup di tempat letak kereta manakala le­tupan kedua membabitkan sebuah kereta.

Menurut polis, kereta yang dile­tupkan itu dipercayai telah dicuri, namun pemiliknya masih belum dikenal pasti.

Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Menteri Pertahanan, Jeneral Udomdej Sitabutr memberitahu Bangkok Post insiden itu tidak mempunyai kaitan dengan militan Daesh.

Udomdej membuat penafian tersebut susulan laporan pihak berkuasa Malaysia yang mendakwa seorang rakyatnya dipercayai anggota Daesh kini berada di Thailand.

Difahamkan, ini bukan kali pertama pasar raya terbabit menjadi sasaran serangan bom kerana pada 1 Ogos 2005, sebutir bom buatan sendiri dijumpai disembunyikan dalam pasu bunga berhampiran kawasan letak kereta. - Kedahnews.com