Lelaki Dibunuh Dipercayai Kerana Cemburu


TAIPING - Seorang lelaki ditemukan mati dengan beberapa kesan kecederaan dipercayai dibunuh dalam kejadian di Pengkalan Sungai Kerang, Padang Gajah dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Harrith Kam Abdullah berkata, mangsa, Wong Chee Kheong, 43, dijumpai dalam keadaan berlumuran darah oleh orang awam pada pukul 9.35 malam. 

Katanya, pemeriksaan pada tubuh mangsa mendapati terdapat kesan kecederaan di bahagian kepala, pipi dan lengan dipercayai disebabkan senjata tajam. 

“Berdasarkan siasatan dan hasil maklumat mendapati punca serangan dipercayai bermotifkan cemburu kerana suspek mengesyaki mangsa mempunyai hubungan intim dengan isterinya. 

“Tempat mangsa ditemui kira-kira 30 meter dari rumah suspek di dalam kampung yang sama dan serangan dipercayai bermula dari belakang rumah suspek,” katanya di sini hari ini. 

Menurut beliau, usaha sedang dijalankan bagi mengesan suspek berusia 34 tahun yang telah menghilangkan diri bersama isterinya warga Thailand selepas kejadian itu. 

Sumber : Utusan Online