Lelaki Kongsi Gambar Bogel Untuk Malukan Bekas Teman Wanita

Michael-Chong-sad-women


PETALING JAYA - Seorang lelaki menggunakan pelbagai cara untuk mengaibkan bekas teman wanitanya, termasuk berkongsi gambar bogel dan menuduh beliau menipu wangnya.

Wanita berusia 42 tahun itu yang tidak tahan dengan tindakan lelaki itu bertindak membuat laporan polis dan mendapatkan nasihat daripada Pengerusi Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong.

Chong ketika menceritakan nasib ibu tunggal itu pada sidang media di pejabatnya berkata, Wong yang tinggal di Johor menjalin hubungan dengan lelaki terbabit sejak 2010.

“Wanita itu memutuskan hubungan dengan teman lelakinya sekitar Tahun Baru Cina tahun ini kerana tidak tahan dengan sikapnya yang terlalu mengawal beliau,” katanya.

Bagaimanapun, lelaki berusia 40-an itu tidak dapat menerima penolakan itu dengan baik dan mula mengganggu serta menuduh wanita berkenaan menipu wangnya.

Mangsa yang merupakan seorang ibu tunggal dengan 2 anak menerima sehingga 20 panggilan daripada nombor tidak diketahui pada malam dan panggilan diputuskan setiap kali beliau menjawabnya.

Chong berkata, keadaan menjadi lebih teruk apabila lelaki itu menghantar gambar bogel Wong kepada kakaknya dan mendakwa beliau penipu.

“Lelaki itu turut mengugut akan berkongsi gambar itu dengan ahli keluarga lain dan rakan mangsa,” kata Chong sambil menambah tindakan lelaki terbabit memaksa Wong membuat laporan di Balai Polis Kulaijaya.

Chong berkata, polis sedang menyiasat kes itu dan meminta lelaki itu berhenti mengganggu Wong bersama 2 anak perempuannya.

Beliau turut menasihatkan wanita lain supaya tidak mengambil gambar bogel atau ketika mengadakan hubungan intim dengan lelaki.

Sumber: Free Malaysia Today