Lelaki Maut Jatuh Dari Tingkat 12 Pangsapuri


PUCHONG – Seorang lelaki ditemui mati dipercayai terjatuh dari tingkat 12 sebuah pangsapuri di Puchong Perdana di sini, awal pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata, pejabat pertanyaan Balai Polis Bukit Puchong menerima panggilan daripada seorang pengawal keselamatan memaklumkan kejadian.

Menurutnya, lelaki terbabit dipercayai terjatuh ke atas sebuah kereta yang diletakkan di tempat letak kenderaan di tingkat bawah sebelum mayatnya tercampak ke permukaan jalan.

Hasil siasatan awal, mangsa dipercayai terjatuh dari balkoni pangsapuri berkenaan.

Hentakan kuat menyebabkan dia mengalami pendarahan serius di bahagian muka, tangan kanan patah dan luka di bahagian paha kanan.

“Hasil siasatan awal juga mendapati tiada unsur-unsur jenayah boleh dikaitkan dengan kematiannya. Identiti lelaki tersebut masih belum dapat dikenal pasti.

“Mayat dihantar ke Hospital Serdang, hasil bedah siasat mendapati sebab kematian berpunca kecederaan pelbagai akibat jatuh dari tempat tinggi," katanya.

Sumber : Sinar Online