PADANG SERAI - Pengundi di Padang Serai diseru tidak melakukan kesilapan kali ke-tiga pada PRU14 akan datang dengan terus memilih pembangkang sebagai wakil mereka.
Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, sudah dua penggal rakyat di sini melakukan kesilapan dengan memberi kuasa kepada pembangkang dan tiada sebarang pembangunan dilakukan.
Beliau berkata, pada PRU14 kali ini diharap rakyat dapat menggunakan kuasa membuat pilihan yang betul memilih pemimpin yang mampu mewakili suara mereka di Parlimen supaya segala masalah timbul dapat diselesaikan segera.
"Lima tahun dia (N Surendran) menang sekali, sudah dua penggal Parlimen Padang Serai diwakili oleh pembangkang tapi tiada perubahan yang dilakukan di Padang Serai, saya kata itulah akibatnya kalau buat keputusan yang tak betul yang rugi kita rakyat di sini.
"Dia dapat kuasa, dia dapat jadi ahli Parlimen dia hilang lepas itu lima tahun sekali dia akan turun ke sini, kita harap supaya ia tidak terjadi pada kali ketiga.
"Saya harap semua penduduk di sini supaya buat keputusan yang terbaik untuk masa depan, kalau ia sentiasa diwakili oleh pembangkang tiada sesuatu pun pembangunan hanya aduan yang banyak rupa tak pernah nampak, minta tak pernah dapat," katanya pada sidang media selepas program walkabout ke Parlimen Padang Serai, semalam.
Menurutnya, UMNO-BN juga yakin akan menawan semula kawasan Parlimen Padang Serai ini melalui tinjaun tinjauan yang dibuat di kalangan peniaga di situ yang rata-rata tidak berpuas hati dengan wakil pembangkang yang dilantik dan telah dipilih pada PRU lalu.
"Dari pengamatan saya dengan persiapan yang dibuat oleh Umno Bahagian dan selaku pengerusi BN saya yakin kali ini akan ada perubahan dari segi kemenangan BN di Padang Serai, dan Padang Serai termasuk dalam senarai kita wajib menang pada PRU kali ini.
"Ini kerana bila saya tinjau dengan peniaga, mereka mengadu sudah berapa lama tak pernah tengok rupa (wajah) Ahli Parlimen N Surendran di kawasan ini,"katanya.
Selain itu, beliau berkata untuk membangunkan sesuatu kawasan ia perlu mempunyai perkongsian kuasa di antara kaum antara Melayu, Cina dan India.
Sumber: Sinar Harian