Letupan Di Pasar Raya Di Pattani, 30 Dikhuatiri Cedera


BANGKOK – Sekurang-kurangnya 30 orang cedera apabila dua bom meletup serentak di sebuah pasar raya yang sibuk di Muang di wilayah Pattani, selatan Thailand, kira-kira pukul 2 petang semalam waktu tempatan (3 petang waktu Malaysia).

Menurut laporan awal daripada pihak keselamatan, satu daripada bom buatan sendiri meletup di dalam pasar raya yang penuh dengan pelanggan ketika kejadian, manakala satu lagi bom yang disembunyikan dalam sebuah kereta diletupkan di tempat letak kereta.

“Ramai yang cedera tetapi tiada yang terkorban dalam kejadian itu,” kata jurucakap Markas Operasi Keselamatan Dalam Negeri Thailand (ISOC), Kol Pramote Prom-in yang mengesahkan insiden tersebut ketika dihubungi di sini semalam.

Ketua Tentera Darat Wilayah 4, Lt Jen Piyawat Nakwanich dan pegawai keselamatan yang lain telah dikejarkan ke lokasi kejadian yang telahpun ditutup untuk membolehkan siasatan dilakukan.

Pasukan penyelamat tempatan juga dikejarkan ke lokasi dan membawa mangsa ke hospital untuk menerima rawatan.

Setakat ini, tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab atas insiden letupan itu yang merupakan pengeboman terbaharu di wilayah bergolak tersebut. – BERNAMA