LHDN Sedang Buru Jutawan "Lari" Bayar Cukai


PUTRAJAYA - Beberapa jutawan termasuk mereka yang bergelar Tan Sri dan Datuk diarahkan untuk membayar cukai yang belum diselesaikan mencecah ratusan juta ringgit.

Operasi memburu pihak tidak membayar cukai dijalankan secara berasingan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Pasukan Penguatkuasa Pemulihan Hasil Negara (NRRET) Jabatan Peguam Negara.

Di Pulau Pinang, sumber atasan berkata seorang Tan Sri diarahkan untuk membayar tunggakan cukai manakala seorang lelaki berpangkat Datuk di Johor turut diarah berbuat demikian.

NRRET yang ditubuhkan pada 2015 terdiri daripada Jabatan Peguam Negera, polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Bank Negara, LHDN, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Ia menguruskan kes berkaitan pengelakan cukai oleh individu dan badan korporat, aliran keluar dana haram dan perbuatan rasuah.

Laporan baru-baru ini berkata 13 jutawan antara individu sedang diburu kerana mengelak membayar cukai.

Rupa-rupanya jumlah tunggakan cukai kesemua individu itu dianggarkan hampir RM50 juta dalam tempoh kurang dua tahun.

Bagi yang terpaksa menjual aset untuk membayar cukai mereka, laporan terbaharu muncul pada Selasa bahawa LHDN menyita deposit tetap Pengerusi Eksekutif County Heights Holdings Bhd (CHHB), Tan Sri Lee Lim Yew berjumlah RM126 juta yang disimpan di dalam bank.

Ini dipercayai ada kaitan dengan liabiliti cukai anak syarikat CHHB iaitu Country Heights Sdn Bhd.

Selepas itu, Lee memaklumkan Bursa Malaysia bahawa beliau bersetuju agar simpanan tetap itu digunakan untuk membayar tunggakan cukai tersebut.

Rakyat Malaysia yang tidak mempunyai pendapatan perniagaan mempunyai tempoh sehingga Isnin depan untuk mengisi E-Filing mereka.

LHDN telah memberi amaran penguatkuasaan ketat tahun ini dengan lebih banyak pengauditan dan siasatan akan dijalankan.

Bagi memastikan pangkalan data dikemas kini dan tepat, LHDN akan bekerjasama dengan polis, JKDM, SPRM dan pihak berkuasa tempatan.

Dari Januari hingga 9 Mei, LHDN melakukan empat operasi besar-besaran di seluruh negara.

Pada Isnin, Ops KUTiP, kempen dua hari untuk mengutip cukai tidak dibayar sejak 2015 telah dilancarkan.

Seramai 592 pegawai LHDN terlibat dalam operasi tersebut untuk mengutip kira-kira RM326 juta yang tertunggak sejak dua tahun lalu.

LHDN menyasarkan untuk mendapatkan sekurang-kurangnya 90 peratus daripada jumlah tunggakan itu pada Disember ini.

Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Sabin Samitah berkata bermula tahun ini, inisiatif yang dibuat bertujuan untuk memudahkan pematuhan dan mengelak ketidakpatuhan.

Beliau berkata LHDN akan memperbaiki proses pemungutannya sambil memastikan tindakan undang-undang yang lebih cepat terhadap mereka yang mengelak membayar cukai.

Mereka yang terlibat dalam ekonomi 'bawah tanah' juga dalam radar LHDN. - Bernama