JOSE Mourinho akhirnya menyerah kalah untuk memburu slot Liga Juara-Juara dan sedia menurunkan kesebelasan paling lemah ketika bertemu Arsenal pada Ahad ini.
Manchester United hanya ketinggalan satu mata di belakang Manchester City di tempat keempat tetapi Mourinho memberi alasan bahawa jadual yang padat kini 'mengorbankan' pemainnya dan beliau mahu memberi tumpulan kepada kejuaraan Liga Europa.
United akan bertemu Celta Vigo pada aksi pertama separuh akhir Liga Europa pada awal pagi Jumaat dan selang dua hari kemudian bertandang ke Emirates untuk bertemu Arsenal.
Namun Mourinho mahu merehatkan pemainnya selepas perlawanan pagi Jumaat sebagai persiapan menghadapi perlawanan timbal balik menentang Celta Vigo pada Khamis depan.
Malah Mourinho mempertaruhkan rekod cemerlang 15 perlawanan tanpa kalah menentang Arsene Wenger apabila berkemungkinan tewas pada Ahad ini.
"Saya fikir pencapaian yang baik memenangi Liga Europa dan membolehkan kami menyertai Liga Juara-Juara pada musim depan.
"Kami akan mencuba dan sebab itu, Liga Europa amat penting buat kami pada masa ini.
"Sudah tentu bergantung kepada keputusan menentang Celta Vigo, bagaimana kami menganalisis perlawanan itu. Tetapi kami perlu merehatkan beberapa pemain pada hujung minggu ini," katanya menurut laporan Mirror.
Mouriho juga mengakui sudah terlewat untuk mengejar slot empat pasukan teratas disebabkan jadual yang ketat terutamanya pada bulan April apabila United beraksi dalam sembilan perlawanan, tujuh daripadanya aksi Liga Perdana Inggeris.
"Kami berdepan banyak masalah, ramai pemain perlu beraksi selama 750 hingga 800 minit dan kami menerima kesan akibat perlawanan yang padat itu," katanya.
Sumber: mStar