Lima Lagi Individu Dipercayai Ahli Geng 24 Didakwa


PULAU PINANG - Lima lelaki termasuk seorang individu bergelar ‘Datuk’ yang disyaki menjadi ahli kumpulan jenayah terancang Geng 24 Pulau Pinang sejak dua tahun lalu didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Walau bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan tertuduh selepas pertuduhan itu dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Norsalha Hamzah dan Irwan Suaibon.

Mengikut pertuduhan, kelima-lima tertuduh, Lim Boon Hooi, 40; Toh Kae Luen, 26; Chan Yi Heang, 22; Harry Tan Cheng Yu, 31 dan Koh Thiam Hua, 38, didakwa menjadi ahli kumpulan Geng 24 di sekitar daerah Timur Laut di sini sejak 1 Januari 2015 hingga 6 Mei lalu.

Kesemua mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Subseksyen 130V(1) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dihukum mengikut subseksyen sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun.

Mahkamah menetapkan 5 Julai ini untuk sebutan semula kes dan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Lim Cheah Yit membawa kes berkenaan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur turut diluluskan.

Pada 20 Feb lalu, Mahkamah Sesyen di sini mendakwa 22 ahli kumpulan itu termasuk seorang individu berpangkat Datuk Seri atas tuduhan sama. 

Sumber :Utusan Online