Lima Sekeluarga Melecur Akibat Kebakaran Di Taman Derga Jaya


ALOR SETAR - Lima sekeluarga melecur dengan empat daripada mereka berada dalam keadaan kritikal selepas kediaman mereka terbakar dalam kejadian di Taman Derga Jaya, di sini, pagi semalam.

Pengarah Kesihatan Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail berkata lima sekeluarga yang terdiri daripada pasangan suami, isteri dan tiga orang anak itu telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) pada kira-kira jam 7.20 pagi.

"Kesemua mangsa yang dihantar oleh jiran mereka telah dimasukkan ke zon kritikal dan diberi rawatan kecemasan serta merta oleh pakar dan pasukan jabatan tersebut," katanya dalam kenyataan semalam

Dr Norhizan berkata mangsa lelaki berumur 48 tahun hanya melecur ringan dengan empat peratus dan berada dalam keadaan stabil manakala isterinya yang berusia 42 tahun mengalami kebakaran tubuh sebanyak 21 peratus serta kelecuran saluran pernafasan akibat terhidu asap.

Katanya, mangsa berada dalam keadaan kritikal dan kini memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sementara itu, Dr Norhizan berkata ketiga-tiga anak mangsa yang berumur antara empat hingga 22 tahun turut berada dalam keadaan kritikal di mana anak perempuan mereka berumur 22 tahun melecur di bahagian permukaan tubuh sebanyak 32 peratus.

"Anak perempuan kedua yang berumur 17 tahun melecur 19 peratus di permukaan tubuh manakala anak lelaki yang berumur empat tahun mengalami kelecuran saluran pernafasan akibat terhidu asap. Ketiga-tiga mereka memerlukan bantuan alat pernafasan.

"Ibu serta dua anak perempuan diberikan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) kes kebakaran manakala kanak-kanak lelaki yang berumur empat tahun dirawat di Paediatric High Dependency Ward (PHDU) bagi pemantauan rapi dan mangsa lelaki diberikan rawatan di wad kebakaran," katanya.

Sementara itu, Penguasa Bomba, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah, Mohd Naim Mat Jaaffar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada kira-kira jam 6.48 pagi sebelum tiba kira-kira 10 minit kemudian.

"Kejadian itu melibatkan sebuah rumah banglo satu tingkat yang terbakar 80 peratus dan kesemua mangsa telah dikeluarkan dan dibawa ke hospital oleh orang awam sebelum pasukan bomba sampai," katanya. - Bernama