MAHKAMAH Agung Sepanyol telah mengekalkan keputusan mahkamah Barcelona yang menjatuhkan hukuman sehingga 21 bulan penjara terhadap Lionel Messi dan bapanya kerana penipuan cukai.
Pemain antarabangsa Argentina itu dan bapanya, Jorge Horacio Messi, dituduh menipu cukai berjumlah €4.1 juta antara 2007 dan 2009 selepas gagal membayar €10.1 juta untuk hak cipta imej.
Mahkamah Barcelona mendapati dia bersalah atas kesalahan itu pada 2016 dan berikutan rayuan, Mahkamah Agung telah mengekalkan keputusan asal.
Selain itu, Messi juga dikenakan denda €2 juta, manakala bapanya didenda €1.5 juta.
Bagaimanapun hukuman terhadap bapanya telah dikurangkan kepada 15 bulan berikutan pemain itu telah memberikan kerjasama dengan membayar semula jumlah wang yang ditipu.
Di bawah undang-undang Sepanyol, melainkan jika terdapat kesalahan terdahulu, hukuman penjara kurang dari dua tahun sering tergantung, mengikut budi bicara mahkamah, seperti yang dijangka akan berlaku dalam kes ini di sini.
Justeru Messi dijangka tidak akan dipenjara dan boleh terus bermain bola sepak.
"Saya berdedikasi untuk bermain bola sepak," Messi memberitahu mahkamah Barcelona ketika prosiding.
"Saya percayakan bapa dan peguam yang kami telah pilih untuk berurusan dengan hal ehwal kami. Tak pernah terfikir oleh saya bahawa mereka boleh menipu saya."
Messi juga memberitahu bahawa tidak banyak yang dia tahu mengenai urusan kewangan yang dibuat.
Sumber : Mstar Online