Lori Sampah Rempuh Kedai Di Langkawi, 6 Cedera

Keadaan lori sampah E-Idaman Sdn Bhd yang terbabas dan merempuh bangunan kedai terbengkalai di persimpangan Jalan Trimula, pekan Kuah, Langkawi, malam tadi. Gambar Ihsan; Facebook Laporan Kemalangan Langkawi
LANGKAWI - Enam kakitangan syarikat pengurusan sisa pepejal E-Idaman Sdn Bhd (E-Idaman) cedera ringan selepas lori sampah dinaiki merempuh bangunan kedai terbengkalai di persimpangan Jalan Trimula, dekat pekan Kuah, di sini, malam tadi.

Dalam nahas jam 7.30 malam itu, lori berkenaan dipercayai mengalami masalah brek ketika menuruni bukit dan semua mangsa dikejarkan ke Hospital Langkawi (HL) oleh ambulans untuk rawatan lanjut.

Ketua Cawangan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Bomba Mohd Naim Mat Jaaffar, berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan itu jam 7.47 malam sebelum sepasukan 12 anggota bersama tiga jentera termasuk jentera Perkhidmatan Respons Perubatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

"Sebaik tiba, kami dapati kemalangan membabitkan sebuah lori milik E-Idaman yang terbabas dan merempuh bangunan kedai terbengkalai," katanya ketika dihubungi di sini.

Mohd Naim berkata, terdapat enam mangsa terdiri daripada pemandu dan penumpang lori sampah terbabit dilaporkan cedera ringan dan semuanya dihantar ke HL sebelum pasukan bomba tiba.

Sumber: BH Online