KUANTAN - Ribuan botol air minuman bertaburan di atas jalan selepas lori yang membawanya terbalik dalam kemalangan di Kilometer 58, Jalan Kuantan - Kuala Lumpur dekat Maran, petang semalam.
Dalam kemalangan kira-kira jam 5.30 petang itu, pemandu lori, Mohd Ridzuan Shafee, 38 dilaporkan patah tangan dan mengalami luka-luka di badan.
Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Mazlan Hasaan berkata, lori treler jenis Nissan milik sebuah syarikat pengangkutan itu dipercayai dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur menghala ke Kuantan membawa muatan air minuman.
Menurutnya, ketika tiba di lokasi kejadian, lori berkenaan dipercayai hilang kawalan ketika melalui laluan beeselekoh selepas menuruni bukit.
"Akibat kejadian, lori terbalik dan melintang jalan dari kedua-dua arah.
"Pemandu lori tersepit dan berjaya dikeluarkan dengan bantuan anggota bomba sebelum dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh untuk rawatan lanjut," katanya.
Beliau berkata, siasatan mendapati kemalangan berlaku disebabkan pemandu lori gagal mengawal kenderaan dan tidak melibatkan kenderaan lain.
"Pemandu lori bagaimanapun masih belum membuat laporan polis kerana sedang menerima rawatan," katanya.
Sumber: Sinar Harian