KUALA LUMPUR – Kenangan sewaktu menghantar anaknya ke tadika setiap pagi tidak pernah lekang dari kotak fikiran Kath (bukan nama sebenar).
Dia masih dapat rasakan tangan mungil Anne (bukan nama sebenar) ketika berpengangan sambil berjalan melewati kawasan perumahan tempat tinggal mereka yang terletak di pinggir ibu kota.
Perjalanan selama 15 minit dirasakan terlalu singkat kerana sambil berjalan, mereka berbual dan bergurau senda, apatah lagi dengan keletah anaknya yang berumur enam tahun pada waktu itu gemar bertanya pelbagai soalan.
Paling diingati wanita itu, si anak pernah bertanya “Mummy, kenapa kereta mesti berjalan di atas jalan raya bukan di dinding?”
Soalan pelik namun kelakar itu sering membuatkan Kath kelu dan hanya mampu menjawabnya dengan gelak tawa.
ANAK SENTIASA DI HATI
Tujuh tahun telah berlalu namun kenangan itu tetap segar dalam ingatan Kath, yang sedang menjalani hukuman penjara sejak 10 bulan lepas atas kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, di Penjara Wanita Kajang, di sini.
Mata bekas penagih dadah berusia 42 tahun itu kelihatan bersinar-sinar setiap kali berkongsi kenangan manisnya melayani keletah Anne yang hanya dapat dijaga sehingga anaknya itu berusia tujuh tahun.
Temu bual Bernama bersama Kath di penjara itu sempena sambutan Hari Ibu, pada awalnya dijangka akan diselubungi suasana sedih, sebaliknya keadaan menjadi ceria dengan gelak tawa Kath yang begitu bersemangat dan teruja setiap kali menyebut nama anaknya.
“Kali terakhir saya jumpa dia (Anne) tiga tahun lepas. Waktu itu saya serahkan dia secara rasmi kepada bekas kakak ipar. Ketika itu umur Anne 10 tahun. Dia sangat cantik. Rambutnya panjang. Sekarang dia sudah 13 tahun. Sudah remaja. Saya tidak tahu bagaimana rupanya sekarang tetapi mesti lebih cantik,” katanya sambil tersenyum lebar.
PERPISAHAN JALAN TERBAIK
Kath yang berasal dari Kuala Lumpur turut berkongsi kenangan pahitnya yang sangat disesalinya.
Pernah membiarkan Anne kelaparan seharian, Kath memberitahu bahawa pada waktu itu dia tidak mempunyai wang untuk membeli makanan sehingga akhirnya menebalkan muka meminjam RM3 daripada jiran untuk mengisi perut anaknya itu.
Kedaifan hidup telah memaksa Kath menjual dadah pada skala kecil bagi mencari sesuap nasi untuk mereka dua beranak.
Malah, Anne juga telah terbiasa menemani ibunya menjual dadah sehinggakan pada satu hari dia bertanya, “Mummy, hari ini tidak ada orang angkat barang (dadah) ke?”
Pertanyaan Anne itu menyebabkan Kath sedar bahawa mereka tidak boleh tinggal bersama lagi dan dia nekad menyerahkan anak yang ditatangnya bagai minyak penuh itu kepada bekas kakak iparnya.
“Bukan saya tidak mahu jaga dia (Anne). Tetapi dia tidak boleh tengok saya berkeadaan begini . Saya juga tidak mahu dia tahu ibunya seorang penagih dan jual dadah.
“Saya tandatangan dokumen penyerahan hak penjagaan Anne sambil menangis. Tapi saya tahu hanya perpisahan yang terbaik demi masa depannya kerana bekas kakak ipar mampu jaga dia dengan lebih baik,” katanya yang pernah menjadi pelayan pelanggan (GRO) di sebuah kelab malam di ibu kota.
RAHSIAKAN STATUS BEKAS BANDUAN
Bakal dibebaskan November ini selepas hukuman penjaranya tamat, Kath berkata dia perlukan masa untuk memulihkan diri sebelum bersedia berjumpa Anne.
Dia yang telah insaf dan ingin kembali ke pangkal jalan berharap dapat mencari pekerjaan yang stabil dan mempunyai tempat tinggal tetap sebelum menemui anaknya.
Membawa Anne makan, berjalan sambil berpegangan tangan seperti yang pernah dilakukannya dahulu adalah perkara yang amat diimpikannya setiap hari.
Bagaimanapun, Kath berhasrat merahsiakan statusnya sebagai bekas banduan daripada pengetahuan Anne kerana bimbang penerimaan anaknya yang belum cukup dewasa untuk memahami penderitaannya.
“Kalau boleh biar sampai bila-bila pun dia tidak tahu ibunya pernah masuk penjara. Saya tidak mahu dia diejek di sekolah. Nanti dia malu ada ibu macam saya,” katanya.
HARI IBU DI SEBALIK TIRAI BESI
Bernama turut menemu bual seorang lagi banduan, Rose, 36 (bukan nama sebenar) yang pada tahun ini terpaksa menyambut Hari Ibu di sebalik tirai besi.
Rose berkata setiap tahun empat anaknya yang kini berumur antara enam hingga 12 tahun bersama-sama membuat kad ucapan Hari Ibu untuknya.
Namun, pada tahun ini Rose terpaksa menyembunyikan keberadaannya dan memberi alasan tidak dapat bersama-sama menyambut Hari Ibu kerana mereka suami isteri sedang bekerja di Kuala Lumpur.
“Anak-anak terutama yang sulung memang tidak pernah lupa Hari Ibu dan mereka buatkan saya sekeping kad. Itu yang membuatkan saya terharu kerana sebelum ini saya dan suami sibuk bekerja, tidak banyak luangkan masa bersama anak,” katanya sambil memberitahu suaminya kini ditempatkan di Penjara Sungai Udang, Melaka.
Pasangan suami isteri itu menerima hukuman penjara atas kesalahan Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri di dalam bangunan.
INGIN PELUK ANAK
Rose memberitahu bahawa sebaik melangkah keluar dari penjara itu apabila dibebaskan pada Oktober nanti, dia ingin segera pulang ke kampung dan memeluk semua anaknya, selain menyediakan makanan kegemaran mereka.
Malah, dia nekad untuk meluangkan sebanyak masa yang mungkin sebagai membayar ‘hutang’ kepada anaknya dan akan menjalani kehidupan baharu dengan mereka.
Dia akan memberitahu anak-anaknya bahawa ibu bapa mereka adalah bekas banduan apabila merasakan mereka telah bersedia menerima kenyataan itu satu hari nanti.
“Anak kini tinggal bersama emak dan adik saya. Kira-kira dua minggu lepas, mak beritahu melalui telefon bahawa anak saya pesan supaya jaga makan dan kesihatan. Nampaknya dia sudah dewasa dan matang. Saya pasti kalau diberitahu baik-baik, dia akan terima hakikat bahawa ibu dan ayahnya bekas banduan,” katanya.
JANGAN PILIH JALAN SALAH WALAU TERDESAK
Menceritakan kembali ketika masih bergelumang dengan kegiatan mencuri, Rose bersama-sama suaminya kesempitan hidup dan terpaksa mencari wang untuk membayar hutang ‘Ah Long’.
Kedaifan hidup yang membelenggu sejak restoran mereka terpaksa ditutup telah menyebabkan Rose dan suami nekad bersekongkol dengan beberapa rakan untuk mencuri susu tepung dan kemudiannya dijual semula.
Walaupun hanya dijatuhi hukuman penjara selama setahun lapan bulan, Rose mengakui ia memberi kesan yang cukup mendalam buatnya.
Berdasarkan pengalaman, Rose berpesan kepada golongan ibu bapa supaya tidak memilih jalan singkat atau melakukan jenayah walaupun dalam kesempitan hidup.
“Seperti saya dan suami, niat memang untuk senangkan anak. Namun matlamat tidak menghalalkan cara. Kalau salah tetap salah… Saya terpaksa masuk penjara, anak juga menanggung akibat kerana terpaksa ditinggalkan tanpa ibu bapa di sisi,” katanya. – BERNAMA