Tumpang menunjukkan nama dalam MyKad yang diberi arwah ibu dan bapanya. |
"TUMPANG sekaki, tumpang sebatu, tumpang semangkuk dan macam-macam ‘tumpang’ lagilah mereka gelar saya, ia perkara biasa, tapi nama ini banyak ajar saya erti sabar,” kata Bekas Ketua Unit Sukan Berita Televisyen RTM, Tumpang Sabtu.
Meskipun namanya sering menjadi bahan usikan nakal rakan-rakan, dia yang kini berusia 64 tahun memberitahu tidak pernah menyimpan dendam, jauh sekali memarahi mereka yang menggelarnya sedemikian.
Menjadi satu-satunya anak dalam keluarga yang diberi nama unik, Tumpang mengakui nama itu pada mulanya menyulitkan kehidupannya.
Namun akhirnya, nama itu memberi manfaat apabila dia menjadi terkenal dalam kalangan pengamal media, pemimpin masyarakat, ahli korporat dan menteri yang biasa berurusan dengannya.
Menurutnya, dia tidak pernah bertanya kepada arwah ibu dan bapanya mengapa namanya diberi begitu, sedangkan adik-beradik lain memperoleh nama yang biasa termasuk abang sulungnya, Mujid, kakaknya Jamilah dan seorang lagi abang bernama Mazlan.
Namun dia ada dengar cerita daripada saudara-mara yang memberitahu, dia diberi nama Tumpang kerana ibunya menumpang di rumah datuk saudaranya ketika mahu melahirkannya.
“Saya sebenarnya tujuh beradik, tiga daripada mereka meninggal ketika masih bayi...Mungkin mak saya fikir mereka tak serasi dilahirkan di rumah sendiri, jadi bila tiba masa bersalin dia ke rumah datuk saudara terletak bersebelahan kediaman kami untuk lahirkan saya.
“Mungkin kerana menumpang rumah datuk saudara di Kampung Tedung, Merlimau, Melaka itulah saya diberi nama Tumpang,” katanya yang kini menetap di Bandar Baru Sentul.
Menceritakan kembali keunikan namanya, Tumpang berkata, nama itu agak menyusahkan dirinya ketika masih di bangku sekolah hinggalah diterima bekerja.
Sejak mula bersekolah di Sekolah Kebangsaan Tedung, diikuti Sekolah Menengah Kebangsaan Dang Anum dan Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Abdul Rahman Ya’kub Merlimau, Melaka namanya sering dipermainkan rakan-rakan.
“Nama saya bukan saja pelik, tapi bila bersambung dengan nama ayah, lagi bertambah pelik..Lagi-lagi kalau jatuh hari Sabtu. Kalau dengar orang permainkan nama, cepat saja rasa panas telinga…rasa nak marah walaupun tahu mereka tiada niat apa-apa.
“Lama-kelamaan saya bangga memiliki nama ini, meskipun banyak salah faham berlaku ketika saya mula bekerja dulu,” katanya ramai tersenyum ketika dia perkenalkan diri, tidak kurang juga yang bertanya berulang kali kerana bimbang salah sebut.
Tumpang yang mengambil keputusan bersara sejak sembilan tahun lalu kini aktif menjadi Ahli Majlis Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM), selain memegang jawatan sebagai Pengerusi Kelab Keluarga Kuala Lumpur.
Tak mahu nama anak pelik
Bapa kepada Nor Juhaida, Mohd Ashaari, Nurul Ashikin dan Nur Jannah Batrisya itu berkata, dia tidak memberi nama pelik kepada anak-anaknya kerana bimbang kesulitan terpaksa dilalui mereka pada masa depan.
Ia berikutan selain dirinya, anak-anak juga menjadi bahan gurauan rakan-rakan dan ada antara mereka pernah menangis pulang ke sekolah kerana namanya dipermainkan.
Namun, lama-kelamaan dia melihat anak-anaknya berbangga berbin dan berbintikan namanya kerana mengetahui bapa mereka adalah orang terkenal.
“Terima kasih kepada arwah mak ayah yang pilih nama ni… saya bangga dengannya...Memang ada hikmah bila jadi orang media kerana mudah dikenali.
“Ia bukanlah nama hodoh, sebaliknya beri faedah cuma agak sulit di peringkat awal dan saya terpaksa pakai tanda nama penuh untuk elak kekeliruan,” katanya.
Pernah berkhidmat sebagai Pembantu Skrip TV Pendidikan sebelum menjadi penolong penerbit dan wartawan, Tumpang berkata, dia turut ada nama gelaran diberi bekas ketua unitnya, Rohana Kasim sekitar 1970-an.
“Masa tu bos panggil saya dengan nama Tom….lepas tu ada pula yang panggil saya 'Tom Saturday', 'Tom Cruise' dan sebagainya,” katanya.
Paling tidak dapat dilupakan, ada seorang rakan datang bertemunya baru-baru ini meminta maaf kerana pernah mentertawakan namanya.
“Kawan saya tak sangka memang nama saya sebegitu, malah ada juga anak-anak mereka yang bila dengar nama itu mereka ingat ia sejenis benda,” katanya.
Isterinya, Malina Mohamed Ariffin, 51, berkata, ketika baharu mengenali suaminya, dia terkejut kerana dapat tahu nama lelaki itu agak pelik.
Katanya, dia jaga pertuturan kerana bimbang jika tersalah menyebut boleh menyebabkan Tumpang yang ketika itu sudah menjadi tunangnya berkecil hati.
“Yelah kalau kita nak sebut tumpang lalu dan sebagainya ia berkait dengan namanya, jadi serba salah nak sebut perkataan itu, tapi nak buat macam mana dah namanya memang begitu.
Malina yang kini masih berkhidmat sebagai pembantu doktor di sebuah pusat perubatan swasta di Kuala Lumpur berkata, ramai pesakit mengenalinya suaminya kerana keunikan nama itu.
Sumber: Sinar Harian