Mahathir Tak Ubah Seperti Seorang "Pelakon"


ALOR SETAR – Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kini tidak ubah seperti seorang pelakon dan terpaksa berhempas pulas menghentam kerajaan setiap hari semata-mata untuk memikat hati parti pembangkang serta penyokongnya.

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohd Johari Baharum berkata, meskipun Mahathir dulu sering menghina pihak pembangkang khususnya DAP, PKR dan PAS, namun kini beliau terpaksa "main wayang" demi survival politik.

kini sudah sama taraf seperti pembangkang yang dahulu dikeji dan dihinanya,

 sikapnya yang sering mengeluarkan kenyataan mempersendakan usaha Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menunjukkan bahawa dirinya hebat bersandiwara.

"Dr Mahathir bukan lagi perdana menteri, dia kini berada bersama barisan pembangkang yang dahulunya sangat dibenci oleh beliau sendiri, dia tidak ubah seperti seorang pelakon," katanya, sejurus merasmikan majlis gotong royong di Sekolah Menengah Kebangsaan Pulau Nyior di Jitra, baru-baru ini.

Johari berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Mahathir dalam cacatan blognya yang menyebut projek penambahbaikan Pelabuhan Melaka dan Kuantan yang akan dilaksanaan itu akan menjadi markas tentera laut China dan menyekat segala  dasar luar berkecuali sedia ada.

Menurutnya, isu berkenaan tidak sewajarnya timbul dan hanya rekaan Mahathir sahaja kerana Malaysia menjalinkan hubungan diplomatik yang baik dengan semua negara dan turut mengamalkan dasar baik bersama Rusia, Amerika Syarikat dan China.

"Kita ada askar pengaman di seluruh dunia, sekarang ini ada 815 orang anggota kita bertugas di beberapa buah negara, kerana itu kita tidak ada masalah kerana kita biasa berhadapan dengan semua keadaan," jelasnya.

Tambah Johari, tindakan Mahathir yang kerap menghentam Perdana Menteri hanyalah disebabkan oleh agendanya yang mahu menjatuhkan kerajaan dan pemimpin nombor satu negara tersebut.

Kata beliau, Mahathir mungkin cemburu dengan Mohd Najib ekoran keistimewaan Perdana Menteri itu yang mempunyai hubungan baik dengan ramai pemimpin dan negara antarabangsa berbanding dirinya dahulu yang selalu berdepan krisis dengan negara luar.

"Misalnya hujung minggu ini perdana menteri akan ke Arab Saudi, mesti Tun Dr Mahathir akan cakap macam-macam sedangkan kita tahu mesti akan ada perkara baik diumumkan Najib selepas itu," katanya lagi.- Kedahnews.com