ALOR SETAR – Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar mendedahkan bahawa kecenderungan ke arah Pakatan Harapan menjadi punca sebenar Datuk Mustafa Ali digugurkan daripada jawatan Pengarah Pilihan Raya PAS.
Menurutnya, Mustafa dianggap tidak lagi relevan dengan jawatan yang disandangkan itu memandangkan PAS tidak lagi menjalinkan hubungan dengan gabungan parti pembangkang di dalam Pakatan Harapan.
“Tok Pa (Mustafa) dilihat sebagai seorang tokoh yang terbuka untuk perunding, membawa pendekatan perundingan dan lebih cenderung dengan pakatan pembangkang.
"Ia berbeza dengan pendekatan presiden PAS apabila memutuskan hubungan secara keseluruhan dengan parti-parti pembangkang," katanya dalam satu kenyataan.
Disebabkan itu, Mahfuz menyifatkan bahawa Mustafa tidak lagi sefahaman dan sejiwa dengan pembawaan politik yang diterapkan oleh parti Islam tersebut pada ketika ini.
Tambah Mahfuz, kelebihan dan "kepakaran" yang ada pada Setiausaha Politik Presiden PAS, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, juga dikatakan menjadi penyebab kenapa Mustafa digugurkan dari jawatannya.
Setiausaha politik Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu sebenarnya mempunyai "kepakaran" dalam bidang penerbangan dan dilihat mampu untuk menjadi “juru terbang”.
Justeru itu kata Mahfuz, Ahmad Shamsuri akan “menerbangkan” PAS lebih tinggi setelah parti tersebut mengambil keputusan memutuskan kerjasama politik dengan parti pembangkang lain.
"Tok Pa (Mustafa) mungkin dilihat sudah tidak lagi layak berbanding setiausaha politik Datuk Seri Abdul Hadi Awang kerana beliau adalah pakar penerbangan yang mungkin akan membawa penerbangan PAS jauh ke awan biru," katanya.
Terdahulu, Mustafa diketepikan daripada jawatannnya sebagai pengarah pilihan raya.
Berita tersebut diperolehi setelah PAS mengumumkan barisan anggota jawatankuasa pusatnya yang baru serta pemimpin yang mengetuai beberapa posisi penting parti berkenaan.-Kedahnews.com