Mahfuz Punca Undi PAS Pecah Di Pokok Sena?


ALOR SETAR – Persengketaan antara PAS`dengan  Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar yang semakin "panas" dijangka mengheret kepada perpecahan serius antara penyokong  pembangkang di kawasan Parlimen itu.

Ia bertambah buruk apabila PAS baru-baru ini membuat keputusan menamatkan kerjasama politik  dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di samping menolak kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Dalam pada itu, Parti Amanah Negara (PAN) pula sedang menunggu peluang untuk mengambil alih kedudukan PAS di negeri Kedah ini.

Pada PRU13, PAS mempertahankan Parlimen Pokok Sena serta DUN Bukit Pinang. Sementara DUN Bukit Lada dimenangi oleh BN manakala DUN Derga dikuasai oleh  DAP.

Mahfuz,  bekas Pesuruhjaya PAS negeri dan tewas pada pemilihan Naib Presiden parti  dua tahun lalu kini dilihat PAS sebagai ‘musuh dalaman’ berikutan serangannya yang tiada henti terhadap pemimpin dan parti itu.

Beliau yang menang dua penggal di Pokok Sena itu kini  cenderung menyokong PPBM,  PKR dan DAP.

Sementara itu UMNO Bahagian Pokok Sena  sedang melihat situasi dan perkembangan yang melanda  parti pembangkang  itu kerana ia bakal  mengeheret  perpecahan antara penyokong serta pengundi.

Ketuanya, Datuk Said Ali Syed Rastan berkata, UMNO bagaimanapun tidak memadangkan kemelut  krisis antara parti pembangkang itu  sebagai ‘kredit’ kepada Barisan Nasional menjelang PRU tidak lama lagi.

“Kami  terus mendekati rakyat, menyelesaikan masalah dan membantu mereka sepanjang waktu dan dalam masa yang sama terus memperkukuhkan keahlian UMNO bahagian, “ kata Said Ali ketika dihubungi Kedahnews.

 Beliau memberitahu, sepanjang Ramadan yang bakal disambut tidak lama lagi, pemimpin UMNO bersama JKKK, masjid dan surau akan menganjurkan pelbagai aktiviti agama dan kemasyarakatan  selain memberi sumbangan kepada yang tidak mampu. -Kedahnews.com