Mahfuz Tak Kisah Dihalau, Seronok Diberi Perhatian

ALOR SETAR – Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar menegaskan bahawa dirinya tidak kisah sekiranya ada pihak-pihak tertentu yang mahu menghalau dan mengusirnya daripada terus berada di dalam parti PAS.

Menurutnya, beliau sama sekali tidak akan keluar daripada parti dan akan tetap setia dengan parti Islam tersebut meskipun pada Muktamar Tahunan PAS kali ke – 63 yang diadakan di Kedah tempoh hari beliau dipinggir dan tidak mendapat jemputan.

“Bagi saya, orang boleh menghalau saya, saya tak kisah, (Naib Presiden PAS, Datuk Mohd) Nik Amar menghalau saya keluar dari PAS kemudian disokong pula oleh Presiden PAS (Datuk Seri Hadi Awang).

“Kemudian Muktamar pula keluar banner ‘Sila Keluar Dari PAS’ itu rentetan daripada kenyataan Nik Amar pada suatu ketika dahulu” katanya.

Mahfuz turut ketawa apabila wakil Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), Surya Narayanan yang mendesak Mahfuz agar segera bertaubat dan tidak meninggalkan parti.

Katanya, perkara tersebut sebagai satu perkembangan yang baik kerana masih ada lagi pihak yang sering memberi perhatian dan mengambil berat tentang perkara yang berlaku terhadap dirinya.

Mengulas mengenai masa depan politiknya, Mahfuz menjelaskan bahawa matlamat beliau kini adalah untuk mengangkat kembali sokongan dari anggota-anggota PAS untuk bersama dengan Pakatan Harapan semula seperti sebelum ini.

“Tentang masa depan saya, saya fikir bahawa apa yang penting adalah bagaimana saya dapat mengangkatkan kembali sokongan ahli PAS bersama dengan Pakatan Harapan” tegas Mahfuz. – Kedahnews.com