Mahfuz Tanya Melayu Mana Yang Nak Sokong PAS?


ALOR SETAR - Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar mempersoal strategi PAS yang dilihat beliau hanya bertumpu kepada undi dari orang Melayu beragama Islam sedangkan mereka sudah beralih parti pembangkang lain.

Bekas Ketua Penerangan PAS yang kini dilihat intim dengan Parti Amanah Negara (PAN) itu turut bertanya sama ada masih ada lagi bangsa Melayu di negara ini yang akan memberi undi kepada PAS pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nanti.

"Saya nak tanya pemimpin PAS, Melayu mana yang nak sokong PAS? Orang-orang bekas ahli PAS pun dah beralih arah kepada PAN, PPBM dan PKR," katanya dalam satu kenyataan yang dipetik dari Sinar Harian.

Tegas Ahli Parlimen Pokok Sena itu, sekiranya PAS mengharapkan undi dari penyokong UMNO, katanya golongan itu akan menyokong PPBM dan tidak mungkin ada lagi Melayu yang akan memberi undi pada PAS.

"Kalau kita harap undi UMNO dahulu akan sokong PAS, tetapi mereka dah sokong PPBM. Melayu mana lagi nak undi PAS," katanya.

Mahfuz sebelum ini membuat keputusan untuk tidak hadir ke Muktamar PAS di Kompleks PAS Kedah dengan alasan tidak dijemput oleh partinya itu. – Kedahnews.com