Mahfuz Tanya PAS, “Hangpa Kebuloq Ka?”


ALOR SETAR - Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar menyoal pemimpin-pemimpin PAS adakah mereka ini “kebuloq” kerana masih lagi berada dalam kerajaan Selangor sedangkan pada Muktamar PAS yang lalu sebulat suara menyokong PAS memutuskan hubungan dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Soal Mahfuz, kenapa pemimpin PAS masih lagi berada dalam sesuatu kerajaan yang secara dasarnya mereka memutuskan untuk tidak menjalinkan hubungan dengan PKR.

“PAS tidak boleh lagi berada dalam kerajaan, kalau masih berada dalam kerajaan orang Kedah kata apa, eh hangpa ni kebuloq ka?

"Mana mungkin kita tidak ada hubungan dengan mana-mana parti dalam kerajaan iaitu PKR dan DAP tapi kita boleh tadbir bersama, peliklah," kata Mahfuz, baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas keputusan Muktamar PAS yang mahu Majlis Syura parti itu memutuskan hubungan tahaluf siyasi dengan PKR ekoran tindakan parti berkenaan yang sebelum ini "menikam" PAS dari belakang.

Sementara itu, Ketua Dewan Pemuda PAS, Muhammad Khalil Abdul Hadi menegaskan bahawa pemimpin PAS tidak perlu meletak jawatan di dalam Kerajaan Negeri Selangor meskipun hubungan tahaluf siyasi dengan PKR terputus.

Tegas beliau, wakil-wakil rakyat PAS itu tidak dilantik oleh PKR mahupun DAP, sebaliknya dilantik oleh kepimpinan PAS sendiri.

"Ahli-ahli jawatankuasa eksekutif (exco) dalam kerajaan negeri Selangor tidak dilantik oleh PKR atau DAP.

"Mereka dilantik oleh PAS, jadi tidak ada keperluan bagi mereka untuk meletak jawatan jika kami putuskan hubungan dengan PKR," jelas Khalil. – Kedahnews.com