MAIK Agih Zakat RM59 Juta


KOTA BHARU - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) telah mengagihkan kutipan zakat kepada golongan asnaf lebih RM59 juta sehingga semalam.

Timbalan Yang Dipertua Maik, Dr Nik Mohd Azlan Abd Hadi berkata, jumlah peruntukan itu adalah daripada kutipan zakat setakat ini sebanyak RM57.62 juta tahun ini dan lebihan zakat tahun sebelumnya.


Beliau berkata, agihan terbesar adalah kepada asnaf fakir dan miskin sebanyak RM39.8 juta iaitu 69.7 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan.


“Maik meminta pemimpin masyarakat khususnya para imam untuk terus berusaha mencari dan mendaftarkan golongan asnaf yang layak.


“Pada masa sekarang, maksud golongan miskin semakin meluas kerana ekonomi yang tidak menentu lebih-lebih lagi yang mempunyai anak ramai.


“Ada keluarga yang berpendapatan RM3,000 tetapi mempunyai anak 12 orang termasuk yang sedang belajar sudah pasti mengalami kesukaran dan mereka ini perlu dibantu,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan zakat perniagaan daripada Maybank Islamic Berhad sebanyak RM967,898.16.


Yang turut hadir, Pengarah Kawasan Maybank Pahang/Kelantan/Terengganu, Abd. Razak Kamardin. 

Sumber : Utusan Online