Marcote Mampu Beri Kelebihan Buat Kedah, Tapi...

ALOR SETAR - Persatuan Bola Sepak Negeri Kedah (KFA) mempunyai kelebihan sekiranya bekas penolong jurulatihnya, Ramon Marcote, kembali mengendalikan skuad Lang Merah mengisi kekosongan yang ditinggalkan Tan Cheng Hoe.

Jurulatih berpengalaman, Bojak Hodak mendakwa, antara kelebihan yang akan dinikmati adalah peluang untuk mempunyai Jabatan Metodologi pasukan seperti mana yang sedang diuruskan Marcote di kelabnya sekarang, Atletico Madrid.

"Dalam bola sepak di Eropah, ia seperti sains, jadi kelab gergasi yang ada suntikan kewangan besar mempunyai beberapa jurulatih kecergasan, pakar pemulihan dan fisioterapi.

"Dengan adanya jabatan itu, pemain di Eropah boleh segera pulih daripada kecederaan yang mereka alami walaupun kecederaan itu serius," katanya, memetik laporan mStar.

Bojan Hodak berkata, Jabatan Metodologi yang dikendalikan Marcote itu berperanan untuk merangka pelan latihan kecergasan sesebuah pasukan dan JDT merupakan satu-satunya kelab di negara ini yang mempunyai jabatan yang hampir sama dengannya.

"Pada pendapat saya, setiap kelab di Malaysia tidak perlu ada jabatan itu kerana mereka sudah ada jurulatih kecergasan sendiri.

"Namun JDT mempunyai beberapa individu yang pakar dalam aspek kecergasan, jadi saya rasa mereka boleh gelar ia sebagai Jabatan Metodologi," katanya lagi.


Walau bagaimanapun, Bojan enggan memberikan sebarang komen sama ada Marcote sesuai untuk menggantikan tempat Cheng Hoe sebagai Ketua Jurulatih Lang Merah kerana tugas berkenaan berbeza dengan tanggungjawab sebagai jurulatih kecergasan pasukan.

"Untuk bekerja sebagai pembantu jurulatih atau jurulatih kecergasan, ia berbeza kerana anda tidak perlu membuat keputusan penting.

"Tetapi keputusan di tangan ketua jurulatih. Itu yang membezakan peranan kedua-dua posisi itu," katanya.

Presiden KFA, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah sebelum ini mengesahkan pihaknya sedang dalam proses rundingan awal dengan Marcote untuk meneliti sama ada beliau yang dikatakan mahir dengan teknik "tiki taka" itu sesuai untuk mengendalikan skuad Kedah.

Walau bagaimanapun, KFA dijangka menghadapi kesukaran untuk mendapatkan Marcote ekoran pengalaman dan kebolehannya itu berkemungkinan jurulatih itu akan meminta bayaran yang tinggi untuk mendapatkan khidmat profesional yang setimpal.

Difahamkan KFA memerlukan kira-kira RM27 juta untuk menguruskan keperluan pasukan Kedah pada musim ini dan dijangka kehadiran Marcote akan meningkat kos badan bola sepak itu.

Sebagai rekod, Marcote menyertai Kedah sebagai jurulatih kecergasan pada Januari 2015 dan pernah memangku tugas sebagai jurulatih skuad itu ketika Cheng Hoe mengikuti kursus kejurulatihan lesen A di China.

Ketika itu, Marcote mengiringi pasukan Kedah ke saingan Piala Malaysia 2015 ke perlawanan akhir yang menyaksikan skuad Hijau Kuning tewas 0-2 kepada Selangor.

Buat masa ini, Marcote yang memiliki lesen profesional Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA), bertugas sebagai jurulatih kecergasan Atletico Madrid.

Beliau kemudiannya meninggalkan Kedah dengan alasan peribadi dan menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi, namun desas-desus mendakwa permintaan Marcote untuk menerima gaji lebih tinggi tidak dapat dipenuhi KFA.

Walau bagaimanapun, tiada pengesahan mengenai khabar angin tersebut. - Kedahnews.com