MB Kedah Menang Bida Potret RM55,000


ALOR SETAR – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah memenangi bidaan gambar potret Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah bersama Sultanah Kedah, Tuanku Haminah Hamidun pada harga RM55,000.

Semasa lelongan amal itu, Ahmad Bashah juga membida sebilah keris panjang berlok 75 yang digunakan golongan istana di zaman Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah (1882-1943) yang dibuka bidaan pada harga RM8,000.

Keris yang berukuran panjang 86 sentimeter itu turut mendapat perhatian ramai apabila dibida beberapa kali bermula RM10,000 sebelum dimenangi Ahmad Bashah pada harga RM30,000.

Kedua-dua barang itu merupakan antara 21 daripada barangan yang dilelong sempena Karnival Amal Hari Penyayang 2017 anjuran Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB) di pekarangan Stadium Darulaman, semalam.

Keseluruhan kutipan berjumlah RM518,000 dengan pembida tertinggi oleh Pengarah ECK Group Sdn Bhd, Puan Sri Ginney Chew berjumlah RM165,000.

Ginney Chew juga merupakan antara pembida yang berjaya memenangi bidaan potret Sultan Kedah bersama Sultanah Kedah pada harga RM30,000.

Beliau berkata, bidaan itu dibuat sebagai berkongsi keuntungan hasil perniagaannya kepada golongan yang memerlukan.

“Tahun lepas kami terlibat juga dalam program ini, tapi tak ada bidaan yang dibuat cuma menderma sahaja. Tahun ini saya bida lima item dan satu persembahan Lan Pet Pet pada harga RM15,000.

“Saya bida gambar Sultan dan Sultanah Kedah sebab semasa saya jalan masuk ke sini saya nampak gambar itu sangat cantik dan saya suka. Gambar ini saya akan letak dalam pejabat di Pulau Pinang,” katanya.

Tambahnya, bidaan persembahan Lan Pet Pet pula adalah disebabkan keunikan dan tarikan yang berjaya dihasilkan beliau.

“Saya rasa dia hebat. Kita pun tak boleh buat macam dia. Saya tak kenal dia, ini baru kali pertama saya jumpa dia dan persembahannya tidak membosankan,” katanya.

Sumber : Sinar Online