Mentor Milenia 2017: Usop Ke Final, Balqis Tersingkir


SHAH ALAM - Konsert separuh akhir Mentor Milenia 2017 menyaksikan empat protoge iaitu Usop, Along, Syeera dan Elica bakal berentap ke pentas final program realiti itu pada Ahad depan.

Bagaimanapun, protoge kepada Hazama iaitu Balqis terkandas selepas mendapat undian terendah pada persembahan yang berlangsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral di sini, malam Ahad.

Pada malam berkenaan, kesemua protoge dikehendaki membuat persembahan solo dan duet bersama mentor masing-masing.

Sementara itu, Usop diumum sebagai juara mingguan sekaligus membawa pulang hadiah sumbangan TV3.

Usop atau nama sebenarnya Muhammad Saiful Naim Muhd Noor mendendangkan lagu Hati Mati dan Kasihnya Laila duet bersama Hazama.

Acara turut dimeriahkan memeriahkan dengan persembahan peserta pilihan pada sesi uji bakat iaitu Wal Ikram.

Juri profesional bagi konsert separuh akhir Mentor Milenia ialah Datuk Hattan dan Misha Omar.

Keputusan persembahan protoge terletak kepada juri profesional sebanyak 50 peratus, laman web 30 peratus dan 20 peratus daripada juri awam.

Program tersebut dihoskan oleh Issey Fazlisham dan Marsha Milan Londoh.

Sumber: mStar