Mereka Akan Bergaduh Lebih Besar Berebutkan Kerusi - PAS


ALOR SETAR - PAS mendakwa pertelingkahan parti di dalam Pakatan Harapan berhubung calon Perdana Menteri bagi pihak pembangkang hanyalah merupakan pertarungan kecil yang berlaku berbanding masalah besar dan lebih rumit yang bakal melanda.

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, parti-parti di dalam Pakatan Harapan akan dilanda perbalahan lebih "panas" apabila tiba masanya mereka akan berebut kerusi untuk ditandingi pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nanti.

"PKR telah mengisytiharkan bahawa kerusi PKR tidak boleh diserahkan kepada sesiapa.

"DAP dijangka akan menggunakan logik yang sama untuk mempertahankan kerusi yang sudah ditandinginya. Peliknya pengumuman ini sama seperti apa yang diisytiharkan PAS," kata beliau memetik laporan Sinar Harian.

Menyindir perbalahan yang semakin menghuru-harakan "pakatan yang tidak sepakat itu", Tuan Ibrahim mendakwa PAS pernah dituduh kononnya bongkak ekoran mempertahankan kerusi yang bakal ditandingi.

Namun katanya, pihak yang menuduh PAS bersikap begitu hanya mendiamkan diri apabila PKR mengumumkan perkara yang sama berhubung kerusi yang bakal parti itu tandingi kelak.

"Cuma ketika PAS umum, PAS dituduh sebagai bongkak oleh parti-parti komponen Pakatan manakala mereka yang sama ini kini terpaksa berdiam diri terhadap pendirian PKR," ujar beliau lagi.

PKR sebelum ini mengumumkan bakal mempertahan semua kerusi yang dimenanginya sebelum ini dan enggan menyerahkan kerusi berkenaan kepada parti lain di dalam Pakatan Harapan.

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pula sebelum ini turut membayangkan akan bertanding di majoriti kerusi, khususnya di Johor dan Kedah, selain mensasarkan banyak kerusi parlimen diberikan kepada parti pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad itu.

Parti Amanah Negara (PAN) juga sebelum ini tegas menuntut untuk bertanding di kerusi-kerusi yang ditandingi PAS dan dijangka akan berdepan masalah perebutan kerusi dengan PPBM dan PKR di sesetengah kawasan majoriti Melayu. - Kedahnews.com