Misteri Penemuan Bangkai Gergasi Di Pantai Akhirnya Terjawab


MISTERI penemuan bangkai makhluk gergasi yang ditemukan terdampar di pantai di kepulauan Seram, Maluku, Indonesia sehingga menimbulkan pelbagai tanda tanya, akhirnya terjawab.

Imej bangkai berkenaan tular di internet sehingga menimbulkan persoalan kepada para saintis: Apakah ia? Bagaimana ia berada di perairan Indonesia?

Menurut laporan The Washington Post, bangkai berkenaan ditemui oleh nelayan tempatan, Asrul Tuanakota, 37, yang menyangka ia adalah sebuah bot yang tersadai di perairan cetek memandangkan saiznya yang besar.

Namun setelah mendekati bangkai berkenaan, Asrul mula menyedari bahawa ia bukanlah seperti yang disangka tetapi satu bangkai gergasi misteri yang berukuran 50 kaki panjang yang berkemungkinan sejenis spesis sotong gergasi berdasarkan kepada anggota badan bangkai berkenaan seakan-akan sesungut.

Bagaimanapun misteri penemuan itu akhirnya terjawab apabila ketua saintis dari Pusat Koservasi Laut mengesahkan bahawa bangkai berkenaan adalah seekor ikan paus berdasarkan rangkanya.

Proses pereputan bangkai berkenaan menyebabkan keadaan fizikalnya berubah sama sekali sehingga ia tidak dapat dikenal pasti.

Kebiasaannya, ikan paus yang mati akan tenggelam ke dasar laut dan bangkainya menjadi makanan kepada hidupan marin lain.

Namun proses pereputan yang dialami bangkai berkenaan agak berbeza kerana suhu air yang panas di perairan berkenaan membenarkan bakteria membiak dan merembeskan gas menyebabkan ia mengembang ke saiz gergasi.

Yang pastinya penemuan berkenaan menjadi tular di internet dan mengelirukan para saintis pada awal penemuannya ditambah pula dengan pelbagai andaian oleh warga tempatan menjadikan penemuan itu bertambah menarik. –Kedahnews.com