Mustafa Ali Digugur: Tuan Ibrahim Nafi Dakwaan Mahfuz


ALOR SETAR - Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menafikan dakwaan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar kononnya bekas Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Mustafa Ali, digugurkan oleh kerana kecenderungannya ke arah Pakatan Harapan.

Tuan Ibrahim mendakwan kenyataan yang dikeluarkan oleh Mahfuz tersebut sama sekali tidak masuk akal dan hanyalah bertujuan untuk mengelirukan rakyat disamping mahu mengucar-kacirkan sokongan ahli PAS.

"Mana mungkin, beliau (Mustafa) akan bersama dengan Pakatan Harapan sedangkan beliau masih menyokong penuh perjuangan PAS dan dipercayai oleh Presiden sehingga melantiknya jawatan baharu sebagai Penasihat Presiden PAS," katanya.

Tambahnya, Mustafa sendiri yang bertemu dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan menyatakan kehendaknya untuk mengundurkan diri dari jawatan yang disandangnya kerana mahu memberi peluang kepada muka-muka baru untuk bersinar.

"Sekali lagi saya mahu jelaskan bahawa Datuk Mustafa Ali sebenarnya yang meminta untuk dilepaskan daripada jawatan berkenaan, dan isu yang tersebar di media sosial adalah tidak benar,” jelas Tuan Ibrahim.

Menurutnya lagi, Mustafa merupakan seorang tokoh dan pemimpin yang sangat berwibawa serta berpengalaman dan PAS sangat menghormati hasrat dan keputusannya untuk mengundurkan diri.

"PAS yakin Mustafa mampu memberi nasihat dan panduan kepada Presiden dan itu juga menjadi kehendaknya semasa pertemuan beliau bersama Presiden sebelum ini," katanya.

Pada 1 Mei yang lalu, Jawatankuasa Kerja PAS Pusat telah mengumumkan bahawa Mustafa telah digugurkan daripada jawatan sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS dan digantikan dengan muka baru.

Mahfuz dalam satu kenyataan mendakwa Mustafa digugurkan dari jawapan berkenaan kerana kecenderungannya yang disifatkan lebih memihak Pakatan Harapan.

"Tok Pa (Mustafa) dilihat sebagai seorang tokoh yang terbuka untuk perunding, membawa pendekatan perundingan dan lebih cenderung dengan pakatan pembangkang.

"Ia berbeza dengan pendekatan presiden PAS apabila memutuskan hubungan secara keseluruhan dengan parti-parti pembangkang," kata Mahfuz. -Kedahnews.com