Musuh Islam Telah Bersatu Untuk Kuasai Ekonomi, Politik Negara – PAS




ALOR SETAR - Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin bin Hassan memberi peringatan kepada seluruh rakyat agar berwaspada terhadap musuh-musuh Islam yang telah bersatu sekarang ini.

Menurut pemimpin parti Islam terbabit, musuh-musuh Islam yang telah bersatu itu kini dalam misi untuk merampas kuasa terutama sekali dari aspek ekomoni dan juga politik negara.

"Musuh Islam telah bersatu biarpun berbeza ideologi dan parti untuk menguasai ekonomi dan politik negara.

"Mereka lupakan sempadan dan batas antara mereka untuk melampiaskan dendam dan merealisasikan kebencian terhadap Islam," katanya.

Oleh yang demikian, beliau menyeru kepada seluruh umat Islam agar kembali bersatu-padu dan elakkan daripada terus bertelingkahan sesama sendiri kerana perkara tersebut hanya akan menguntungkan musuh Islam.

Walau bagaimanapun, Nasrudin tidak menjelaskan dan tidak menyebut secara mendalam pihak yang dimaksudkan sebagai musuh Islam tersebut, peringatan tersebut hanyalah sebagai satu amaran agar umat Islam bersatu dan mengetepikan perbezaan politik.

"Jangan hanya kerana beza mazhab feqah dan fahaman politik, kita bertelagah tanpa noktah.

"Bercakar tidak sudah dalam perkara remeh dan furu', akhirnya ummah hilang kekuatan lantas binasa.” ujarnya lagi. – Kedahnews.com