Nabil Harap Lebih Menyerlah Di Azerbaijan


KUALA LUMPUR - Pelumba Formula 2 (F2) negara, Nabil Jeffri menyifatkan Perlumbaan 2 di Monaco minggu lalu sebagai positif dan berharap dapat membawa rentak berkenaan ke saingan seterusnya di Azerbaijan, tiga minggu lagi.

Pelumba pasukan Trident Motorsport itu menamatkan Perlumbaan 2 di kedudukan ke-11 selepas bermula dari petak ke-14.

Dia menamatkan perlumbaan yang dimenangi pelumba Rapax, Nyck de Vries itu dengan catatan 42 minit 25.325 saat.

"Pada beberapa pusingan awal, saya bersaing dengan Sean Gelael dari Indonesia. Kami berdua saling bersaing dan pada pusingan kelapan hingga 10, saya berjaya memintasnya dan terus menjarakkan diri dengannya.

"Tumpuan saya ketika itu hanya untuk mengejar pelumba di depan iaitu Antonio Fuoco yang juga pelumba termuda dari Akademi Ferrari.

"Apapun, secara keseluruhan, ia adalah satu perlumbaan yang sangat positif buat saya dan pasukan kerana dapat menamatkan Perlumbaan 2 di kedudukan ke-11.

"Saya berharap dapat meneruskan usaha gigih ini untuk perlumbaan seterusnya di Baku, Azerbaijan, tiga minggu lagi."

Pada Perlumbaan 1 yang berlangsung di Sirkit de Monaco sebelum itu, Nabil menamatkan saingan di kedudukan ke-14 daripada 20 pelumba.

Sumber : BH Online