Najib Mahu Anggota Perkhidmatan Awam Tolak Sikap Mudah Puas Hati


PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu anggota perkhidmatan awam berusaha ke tahap kemampuan maksimum atau melebihi had dan menolak sikap mudah berpuas hati dengan pencapaian yang "lebih kurang atau ok" sahaja.

Mengakui beliau tidak boleh menjadi perdana menteri yang berkesan tanpa perkhidmatan awam yang berkesan, Najib berkata beliau mahu penyelesaian secara kreatif dan inovatif diamalkan untuk mencapai sasaran lonjakan berganda untuk Malaysia.

"Jika kita boleh melaksanakan sesuatu perkara secara kolektif, output (hasil) mesti lebih besar, menyeluruh dan bermakna lagi.

"Kita perlu sentiasa berusaha mencari penyelesaian kreatif dan inovatif," katanya pada sesi dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) Perdana Menteri Bersama Penjawat Awam di Kementerian Kewangan di sini, hari ini.

Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Dr Ali Hamsa menjadi moderator majlis dialog tersebut yang dihadiri kira-kira 1,300 penjawat awam. - BERNAMA