MELBOURNE – Nasi dagang sejuk beku keluaran T-Kitchen, sebuah anak syarikat Menteri Besar Terengganu Incorporated bakal dipasarkan di seluruh Australia pertengahan tahun hadapan.
Pengarah Jabatan Pelancongan Terengganu Tun Ahmad Faisal Tun Razak berkata, usaha itu adalah selari dengan hasrat Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman yang melawat Australia baru-baru ini.
Ia untuk memperkenalkan makanan tradisional tempatan sebagai salah satu produk pelancongan. Malah ujarnya, di samping nasi dagang sejuk beku, kerepok lekor sejuk beku juga mendapat permintaan tinggi di Australia sendiri.
“Beliau (Ahmad Razif) berhasrat untuk memperluaskan pemasaran nasi dagang sejuk beku di seluruh Australia, di mana terdapat pelajar-pelajar Malaysia sebagai “ejen promosi pelancongan negeri” secara tidak langsung.
“Ini kerana pelajar-pelajar kita pada masa yang sama mampu memperkenalkan tempat-tempat menarik yang ada di Terengganu di samping makanan enak yang terdapat di negeri Terengganu,” katanya dalam satu kenyataan.
Tun Ahmad Faisal berkata bahawa salah satu daya tarikan untuk membawa pelancong asing datang ke Terengganu sempena program Visit Beautiful Terengganu 2017 ialah menerusi produk makanan yang enak serta unik.
Tambah beliau, nasi dagang Terengganu menjadi makanan pilihan untuk dipasarkan di luar negara secara komersial kerana ia sudah menjadi sinonim dengan imej dan nama negeri Pantai Timur tersebut sendiri sejak sekian lama.
“Ke mana sahaja kita pergi, sebut Terengganu, orang pasti akan menyebut nasi dagang. Kalau Sarawak terkenal dengan mee kolok dan laksa Sarawak, Terengganu terkenal dengan nasi dagang dan kerepok lekor,” ujarnya lagi.
Tambah Tun Ahmad Faisal, selain pembungkusan yang menarik serta mempromosikan tempat pelancongan dalam Terengganu, terdapat beberapa produk makanan lain lagi yang dicadangkan untuk dieksport ke luar negara.
“Namun, produk itu masih dalam peringkat kajian seperti mana diarahkan menteri besar sendiri supaya ia tahan lama untuk disimpan dan enak lagi dimakan bagi menjaga kualiti,” kata beliau. – Agensi