Nasi Kambing Kat Kubur Tular Di Melaka


MELAKA – Nama hidangan di sebuah kedai makan yang menjual nasi Arab mungkin kedengaran agak pelik, namun ia pasti melekat dalam ingatan pelanggan sampai bila-bila.

Nasi Kambing Kat Kubur adalah salah satu menu menarik yang dijual di Kedai Sawit Corner, sebuah kedai makan yang terletak di bawah rimbunan pokok kelapa sawit di Solok Duku, Alor Gajah di sini.

Lokasi kedai yang secara kebetulan bersebelahan Tanah Perkuburan Islam Mualim di Solok Duku itu mencetuskan idea kepada pemiliknya untuk menjadikan nama hidangan unik itu sebagai satu jenama.

Kedai itu diusahakan sejak enam tahun lalu oleh Nabila Asyyiqin Marzuki, 25, dan suami, Mohamad Khairul Azwan Md Ramli, 28, selain dibantu saudara mereka, Muhammad Hayad Norazman, 25, lapor Berita Harian.

Menurut mereka, keputusan untuk menjenamakan hidangan kepada Nasi Kambing Kat Kubur itu dibuat setelah menerima banyak pertanyaan tentang lokasi sebenar kedai tersebut sendiri.


“Kami mengusahakan kedai makan ini sejak 2006 dengan menjual cucur udang, bakso, mi kari, laksa dan cendol sebelum menambah gulai kawah itik, daging dan kambing pada tahun 2009, diikuti nasi Arab pada 2011.

“Penambahan juadah dibuat supaya pelanggan ada pilihan kerana bukan semua mahukan hidangan alas perut, sebaliknya yang mengenyangkan untuk perjalanan jauh,” kata Nabilah Asyyikin kepada akhbar itu.

Menurut catatan menerusi laman Facebook rasmi Sawit Corner, nama Nasi Kambing Kat Kubur itu sebenarnya adalah nasi Arab yang dihidangkan sekali dengan daging kambing berempah.


Ia turut menjadi hidangan pilihan ramai pelanggan, dengan salah seorang daripadanya menyatakan: “Kalau akak mati hari ini pun, akak reda dan puas sebab akak dapat makan nasi Arab. Sedap sangat.”

Nabilah Asyyikin berkata, kedainya turut menyediakan Nasi Kambing Kat Kubur dengan pilihan ayam bagi yang tidak mahu daging kambing, serta set dimakan sama ada untuk seorang ataupun keluarga.

“Alhamdulillah, sambutan diterima amat membanggakan apabila ramai pelanggan melalui jalan dari Masjid Tanah untuk ke bandar raya Melaka singgah di kedai ini yang terletak di kawasan kebun kelapa sawit,” katanya.

“Kami turut ada set nasi Arab bajet berharga RM8.90 sepinggan dan cendol biasa serendah RM1.50,” kata bekas pelajar perhotelan Sekolah Teknik Setapak Kuala Lumpur itu. – Agensi