Neelofa, Alif Satar Dominasi Pencalonan Top 5 ABP


KUALA LUMPUR - Alif Satar dan Neelofa mendominasi senarai Top 5 Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 3.0 apabila masing-masing disenaraikan sebagai calon akhir dalam lima kategori.

Populariti yang diraih dua selebriti terbabit menerusi medium lakonan dan pengacaraan dilihat antara penyumbang terbesar kepada pencalonan, selain sokongan padu peminat.

Alif bergelar calon akhir dalam empat kategori utama iaitu Pelakon Filem Lelaki Popular, Penyanyi Lelaki Popular, Artis Versatil Popular dan Pengacara TV Popular.

Menerusi kategori online pula, beliau bergelar calon Top 5 bagi Gandingan Serasi Drama bersama Siti Nordiana, menerusi karya Dia Semanis Honey.

Neelofa cemerlang dalam dua kategori utama iaitu Pelakon TV Wanita Popular dan Pengacara TV Popular. Beliau juga dicalonkan peminat ke peringkat akhir dalam tiga kategori online iaitu Gandingan Serasi Drama (Suri Hati Mr Pilot bersama Fattah Amin), Artis Berpengaruh di Laman Sosial dan Artis Sensasi.

Mengikuti rapat ialah pelakon dan penyanyi, Ayda Jebat, serta pelawak, Zizan Razak, masing-masing bersama empat pencalonan.


Ayda berpeluang menjulang trofi ABPBH 3.0 menerusi kategori Pelakon TV Wanita Popular, Penyanyi Wanita Popular, Gandingan Serasi Drama (Awak Sangat Nakal bersama Sharnaaz Ahmad) dan Artis Berpengaruh Di Laman Sosial.

Zizan pula bersaing sebagai calon Top 5 dalam kategori Artis Komedi Popular, Artis Versatil Popular, Pengacara TV Popular dan Artis Berpengaruh Di Laman Sosial.

Bintang sensasi, Fattah Amin, turut menyerlah dengan dengan tiga pencalonan akhir. Beliau dicalonkan dalam kategori Pelakon TV Lelaki Popular, Gandingan Serasi Drama dan Artis Sensasi.

Erra Fazira, Siti Nordiana, Fazura, Siti Saleha, Johan, Shukri Yahaya, Izzue Islam, Syamsul Yusof, Mira Filzah, Aiman Tino, Wany Hasrita dan Khai Bahar pula antara artis yang mara ke peringkat Top 5 dengan dua pencalonan.

Julung kali memperkenalkan undian secara dalam talian sepenuhnya, ABPBH 3.0 yang memasuki usia tiga dekad penganjuran akan mencapai kemuncaknya pada 14 Mei ini di Pusat Persidangan Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Mengangkat tema Futuristik, konsep itu dilihat seiring dengan perubahan teknologi yang mempengaruhi kehidupan manusia masa kini.

Pengarang Kumpulan BH merangkap Penaung ABPBH 3.0, Datuk Mahfar Ali, berkeyakinan acara anugerah berkenaan akan terus relevan sebagai pengukur prestasi penggiat seni.

“Ia selaras evolusi berita dan kandungan BH yang sentiasa mengutamakan produk segar serta menarik perhatian pembaca muda,” katanya pada majlis pengumuman calon Top 5, artis persembahan, penyampai trofi dan hos malam kemuncak ABPBH 3.0 di Balai Berita, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengarang Kumpulan BH, Datuk Badrulhisham Othman; Pengasas Vida Beauty Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman selaku penaja utama dan wakil penaja lain seperti Naza Group, Coca Cola, Stesen Televisyen Malaysia Berhad, Kool FM, Hot FM, Tonton dan ZIP.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur ABPBH 3.0, yang juga Pengarang Hiburan BH, Shamshul Azree Samshir, berkata lebih 1.3 juta undi diraih sepanjang tempoh pengundian dibuka, April lalu, yang membuktikan acara anugerah ini kekal relevan dengan sasaran pembabitan kelompok mesra teknologi tercapai.

“Ketika ini, persiapan bagi menjayakan malam kemuncak ABPBH 3.0 rancak diadakan. Kami menjanjikan persembahan hebat sesuai dengan matlamat meraikan ulang tahun ke-30 ABPBH.

“Kami yakin, acara yang bakal disiarkan secara langsung oleh TV3 nanti, yang menampilkan ramai bintang hebat seperti kumpulan Search, Noraniza Idris, Dayang Nurfaizah, Mawi, Ayda dan Elly Mazlein bakal menambat hati peminat. Begitu juga kejutan oleh artis yang bakal menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat,” katanya.

Shamshul Azree juga berkata, proses undian sudah pun berakhir dan pengumuman senarai Top 5 dibuat bagi menambahkan lagi debaran menjelang malam kemuncak.

Kategori Utama:

Artis Baharu Lelaki Popular

1. Aiman Tino
2. Haqiem Rusli
3. Khai Bahar
4. Tajul
5. Alvin Chong

Artis Baharu Wanita Popular

1. Azira Shafinaz
2. Elvina Mohamad
3. Wany Hasrita
4. Sweet Qismina
5. Mawar Rashid

Pelakon Filem Lelaki Popular

1. Alif Satar
2. Izzue Islam
3. Remy Ishak
4. Syamsul Yusof
5. Zul Ariffin

Pelakon Filem Wanita Popular

1. Erra Fazira
2. Fazura
3. Nelydia Senrose
4. Reen Rahim
5. Siti Saleha

Pelakon TV Lelaki Popular

1. Aiman Hakim Ridza
2. Ashraf Muslim
3. Shukri Yahaya
4. Fattah Amin
5. Syafiq Kyle

Pelakon TV Wanita Popular

1. Ayda Jebat
2. Janna Nick
3. Mia Ahmad
4. Mira Filzah
5. Neelofa

Penyanyi Lelaki Popular

1. Aiman Tino
2. Alif Satar
3. Faizal Tahir
4. Khai Bahar
5. Tomok

Penyanyi Wanita Popular

1. Amira Othman
2. Ayda Jebat
3. Siti Nordiana
4. Stacy
5. Wany Hasrita

Artis Kolaborasi / Duo / Berkumpulan Popular

1. Akim & The Majistret
2. Bunkface
3. Forteen
4. Khalifah
5. Projector Band

Artis Komedi Popular

1. Abam
2. Issey
3. Jep
4. Johan
5. Zizan Razak

Artis Versatil Popular

1. Alif Satar
2. Didie Alias
3. Ifa Raziah
4. Zizan Razak
5. Zulin Aziz

Pengacara TV Popular

1. Alif Satar
2. Mira Filzah
3. Nabil Ahmad
4. Neelofa
5. Zizan Razak

Penyampai Radio Popular

1. DJ Lin (Suria)
2. Haiza (Kool FM)
3. Ikhwan (Kool FM)
4. Johan (Era)
5. Radin (Era)

Kategori Online:

Gandingan Serasi Drama

1. Alif Satar & Siti Nordiana (Dia Semanis Honey)
2. Fattah Amin & Neelofa (Suri Hati Mr Pilot)
3. Raja Afiq & Niena Baharun (Sayangku Kapten Mukhriz)
4. Sharnaaz Ahmad & Ayda Jebat (Awak Sangat Nakal)
5. Shukri Yahaya & Siti Saleha (7 Hari Mencintaiku)

Gandingan Serasi Filem

1. Awie & Erra Fazira (Warna Cinta Impian)
2. Izzue Islam & Juliana Evans (Alif Dalam 7 Dimensi)
3. Keith Foo & Fazura (Langit Cinta)
4. Syamsul Yusof & Nabila Huda (Munafik)
5. Zahiril Adzim & Shera Aiyob (Juvana 3)

Personaliti Media Sosial

1. Luqmanpodolski
2. Makhlokmacho
3. Mat Luthfi
4. Nizam Rahman
5. Vivy Yusof

Artis Berpengaruh Di Laman Sosial

1. Ayda Jebat
2. Datuk Siti Nurhaliza
3. Neelofa
4. Nora Danish
5. Zizan Razak

Artis Sensasi

1. Adira
2. Elly Mazlein
3. Fattah Amin
4. Neelofa
5. Uqasha Senrose

Sumber: Berita Harian