Nekmat Tempelak Pakatan Cuba Kaitkan Nelayan Untuk Politik


KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan ditempelak Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) gara-gara perbuatan melampau pimpinannya cuba menjadikan golongan nelayan sebagai medium terbaru untuk memburuk-burukkan kerajaan Malaysia.

Pengerusi Nekmat, Ahmad Rudin Hussain berkata, dakwaan yang dibuat oleh salah seorang pemimpin Pakatan Harapan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad kononnya purata pendapatan nelayan adalah RM400 sebulan adalah tidak munasabah.

“Ahli Parlimen Kuala Terengganu ini telah menghina golongan nelayan dengan kenyataan beliau bahawa purata pendapatan nelayan RM400 sebulan. Adalah tidak munasabah bagi nelayan yang konsisten turun ke laut hanya untuk mendapatkan RM13 sehari.

“Pendapatan nelayan semakin naik sejak harga ikan meningkat tinggi dan permintaan hasil laut naik sejak akhir-akhir ini. Kenyataan-kenyataan ini menggambarkan beliau sengaja merendahkan taraf nelayan untuk mendapat populariti,” katanya dalam satu kenyataan media semalam

Ahmad Rudin berkata, Nekmat yang mewakili kepentingan golongan nelayan di Malaysia mengalu-alukan sebarang bentuk kerjasama tidak kira daripada mana-mana parti politik, namun kenyataan Raja Kamarul Bahrin Shah itu merupakan satu penghinaan.

Beliau bagaimanapun menerangkan, Nekmat amat berterima kasih kepada kerajaan Malaysia kerana sentiasa berusaha meningkatkan taraf hidup, kebajikan dan pendapatan nelayan.

Sebagai contoh, katanya, subsidi minyak diesel yang diberikan kerajaan amat membantu golongan nelayan untuk mengurangkan kos operasi turun ke laut menangkap ikan.

Selain itu, katanya, Elaun Sara Hidup (ESH) yang disalurkan kepada nelayan setiap bulan membantu golongan itu menyara kehidupan seharian selain Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M), insentif hasil tangkapan ikan, projek khas perumahan nelayan dan lain-lain.

“Semua bentuk bantuan ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan sentiasa komited dan serius membantu masyarakat nelayan dan bukan mainan sandiwara yang tidak sesuai dalam situasi politik negara sekarang.

“Pemikiran masyarakat nelayan sekarang lebih matang yang boleh memikirkan yang mana benar dan yang baik untuk mereka,” katanya. –Kedahnews.com