NGO Dakwa Perangi Rasuah Dalam Felda Hanya "Syok Sendiri"


PUTRAJAYA – Tindakan Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Hisbah Centre For Reform (Hisbah) untuk memerangi rasuah dalam agensi Felda hanya sekadar gimik bagi menarik perhatian media, kata Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Tan Sri Shahrir Abdul Samad.

Beliau juga menyifatkan kerjasama itu lebih kepada ‘syok sendiri’ berbanding tindakan konkrit yang diambil pengurusan Felda dalam memerangi dan membanteras rasuah di organisasi itu dengan menandatangani MoU dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), badan yang bertanggungjawab penuh dalam memerangi gejala negatif tersebut.

“Kita (Felda) sebenarnya telah lama mendahului mereka dalam memperkasa amalan integriti dan menolak perbuatan rasuah di semua peringkat dengan membuat perjanjian dan ikrar integriti bersama SPRM selain mewujudkan polisi penyalur maklumat di kalangan warga pentadbiran dan pengurusan Felda.

“Polisi Whistleblower ini akan membolehkan seseorang whistleblower atau penyalur maklumat mengenai rasuah dan salah guna kuasa dilindungi, sekali gus membolehkan tindakan diambil serta sebarang salah laku boleh dicegah dari awal,” katanya kepada pemberita selepas mengumumkan Sambutan Hari Peneroka Felda peringkat Kebangsaan di sini semalam.

Beliau mengulas mengenai langkah Anak menjalin MoU dengan Hisbah yang diketuai Datuk Ezam Mohamad Nor, semalam yang antara lain menyasarkan untuk mengadakan kempen memerangi rasuah dalam agensi itu di semua kawasan Felda di seluruh negara bermula 21 Mei ini.

Kempen itu dilapor akan dimulakan dengan kawasan Parlimen Pekan yang diwakili Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mengulas lanjut, Shahrir berkata memilih kawasan Perdana Menteri sebagai permulaan kempen walaupun merupakan taktik menarik perhatian media tetapi dalam sesuatu pilihan raya, pengundi terutamanya peneroka dan warga Felda merupakan penyumbang kepada faktor kemenangan, bukannya hal lain.

“Pada kita mudah, apa pun kita buat tentunya yang mustahak ialah kelangsungan Felda sebagai sebuah organisasi dari segi kemampuan kewangan dan pentadbiran…dan itu yang kita utamakan,” katanya. – BERNAMA