ALOR SETAR - Tonggak pertahanan Kedah, Zachary Anderson, berkemungkinan besar tidak dapat diturunkan dalam perlawanan menentang PKNS FC dalam saingan Liga Super yang bakal berlangsung, esok.
Pengendali skuad Lang Merah, Mohd Nidzam Adzha Yusoff berkata, beliau tidak boleh memandang remeh pada risiko memperjudikan nasib Zachary ekoran pemain itu mungkin akan mengalami kecederaan lebih teruk jika tidak pulih sepenuhnya.
"Zachary mengalami kecederaan pada tulang pinggulnya dan telah dinasihatkan supaya berehat.
"Saya tidak boleh mengambil mudah kecederaan itu dan perlu menggantikan tempatnya dengan pemain lain," tegas beliau, memetik laporan mStar.
Menyedari keadaan Kedah yang sedikit tempang tanpa Zachary dan tonggak pasukan, Liridon Krasniqi, Nidzam Adzha tetap optimis seluruh pasukan Lang Merah tidak akan goyah bertemu lawan berbekalkan sorakan penyokong setia Hijau Kuning.
"Walaupun Zachary dan Liridon Krasniqi tidak ada kali ini namun kita ada sorakan penyokong setia yang akan menjadi pembakar semangat pemain untuk mereka terus berjuang," ujar Nidzam.
Nidzam Adzha menegaskan bahawa skuad Lang Merah itu perlu bangkit mendapatkan tiga mata penuh dan kembali bersaing untuk kedudukan teratas liga memandangkan perbezaan mata antara tiga pasukan teratas juga tidak begitu ketara.
Skuad Kedah bakal berdepan PKNS FC di Stadium Shah Alam pada jam 9 malam esok bagi meneruskan saingan Liga Super yang kini menyaksikan pasukan kebanggaan anak Kedah itu berada di tangga ketiga liga di belakang Pahang dan JDT. - Kedahnews.com